Mon04232018

LAST_UPDATEMon, 23 Apr 2018 12am

Elak Pergeseran Pendapat Yang Rugikan BN

KUANTAN - Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjadi hakim dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi Umno Kuantan dengan MCA berhubung isu perebutan kerusi Parlimen itu.

Penganalisis Politik, Md Shukri Shuib berkata, ini bagi mengelak percanggahan pendapat yang merugikan BN untuk menangi kerusi tersebut pada PRU14.

Menurutnya, Najib ataupun Majlis Tertinggi (MT) Umno, perlu menggunakan mandatnya untuk menyelesaikan masalah terbabit, sekali gus membuat keputusan tepat siapa layak bertanding.

“Kalau Umno dan MCA terus bertelingkah, ini akan menimbulkan impak negatif kepada BN. Seeloknya serahkan mandat kepada Pengerusi BN (Najib) sebagai hakim untuk tentukan kedudukan parti komponen mana yang akan bertanding dalam PRU.

“Najib kena pilih calon sesuai yang boleh menang dan sekali gus tentukan kedudukan kerusi sama ada Umno atau MCA layak bertanding. Keputusan itu mestilah berdasarkan analisis data calon yang sesuai.

“Bila Najib sudah membuat keputusan sebaiknya calon itu sama ada dari Umno atau MCA perlu menghormati keputusan Najib sebagai Pengerusi BN. Jangan ada antara mereka khianat dan sabotaj... kalau khianat pasti pembangkang boleh menang,” katanya ketika dihubungi mengenai isu perebutan kerusi Parlimen Kuantan antara Umno dan MCA.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta kerusi yang telah dipinjamkan kepada Umno itu mesti dipulangkan semula kepada mereka walaupun mendapat halangan dari Umno.

Kelmarin, Ketua Umno Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat menegaskan, Umno sudah memegang kerusi parlimen itu sebanyak 11 kali dan MCA hanya bertanding dua kali.

Mengenai isu terbabit, Md Shukri memberitahu, semua parti komponen seharusnya memberi kepercayaan pada Najib, sekiranya justifikasi yang dilihat condong ke arah parti tertentu sebolehnya mereka merujuk kepada Pengerusi BN.

Jelasnya, parti komponen dalam BN tidak seharusnya mempamerkan masalah dalaman mereka ini kepada umum kerana ia boleh memberi kelebihan kepada pembangkang untuk terus mengekalkan kuasanya di parlimen berkenaan.

#prusinar #aparakyatmahu

-Sinar Harian