Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Video Fitnah Cuba Kaitkan Rosmah Dengan Projek Felda

SHAH ALAM - Satu laporan polis telah dibuat berhubung penularan satu video yang didakwa fitnah dengan mengaitkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan beberapa projek pelaburan Felda termasuk projek penternakan ikan Sturgeon, hari ini.

Peguambela, Noor Hajran Mohd Noor berkata, laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung satu video yang dimuatnaik di laman youtube bertarikh 7 Mac 2018 yang bertajuk “Mazlan Aliman Amanah - Pecah Rahsia : Isteri Najib Razak di belakang projek ikan sturgeon yg lingkup’.

“Video yang dimuatnaik oleh pemilik akaun dengan nama samaran ‘Cap Kapak’ itu memaparkan ucapan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) merangkap Ahli Majlis Tertinggi Amanah, Mazlan Aliman yang secara terang menuduh anak guam saya terlibat dalam beberapa projek pelaburan yang dirancang dan dilaksanakan Felda termasuk projek penternakan ikan Sturgeon.

“Kenyataan Mazlan tersebut yang kononnya berdasarkan maklumat daripada seorang pegawai Felda adalah satu tuduhan dan fitnah jahat yang dibuat tanpa ada sebarang bukti serta asas yang kukuh.

“Tuduhan sebegini telah menyebabkan terjadinya buruk sangka di kalangan netizen lantas menjejaskan reputasi dan integriti anak guam saya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dengan laporan polis yang dibuat, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap penyebaran video fitnah berkenaan.

“Setelah berbincang dengan anak guam saya, saya telah diarahkan untuk membuat satu laporan polis berkenaan video tersebut.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

-Sinar Harian