Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Umno Tak Minat Dengar Nasihat Berat Sebelah

SEREMBAN – Umno bersedia menerima apa saja nasihat daripada semua pihak terutamanya ahli politik vateran parti itu selagi ia berniat baik dengan mengambil kira kepentingan semua.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa bagaimananapun berkata, apa yang dikesalkan apabila ada segelintir daripada mereka yang memberi nasihat secara berat sebelah dengan memperbesarkan sesuatu isu menyebabkan Umno tidak berminat untuk mendengarnya.

“Ini negara bebas dan sesiapa sahaja boleh bagi pandangan. Biasalah bila orang yang dah lama tak dapat perhatian. Kalau ada yang baik, kita terima. Kalau cakap tak betul, mungkin kita kena nasihat dia balik.

“Pada saya rakan-rakan dalam politik yang seangkatan dengan saya sesetengahnya, bila kita dah tiada apa-apa jawatan eloklah jaga tingkah laku dan jangan cuba nak desak orang sekeliling.

“Bagi saya, kepentingan ramai itu lagi penting. Memang mudah untuk nampak hero menyalahkan sesiapa atau kerajaan, tapi perlulah bertanggungjawab,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penasihat Sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim baru-baru ini yang berpendapat kerajaan BN perlu menerangkan kedudukan sebenar berkaitan 1MDB dan Jho Low kepada rakyat jika mahu menang PRU14.

Mengulas mengenai media antarabangsa yang berterusan mengaitkan Jho Low dengan negara ini, Annuar berkata, tidak mustahil ada pihak tertentu yang menyogok untuk perkara itu dilakukan.

“Cuba tanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah tak dia bayar ‘American lobbies’ dan netizen yang mendedahkannya. Siapa yang mengajar kita menolak laporan media antarabangsa, orangnya ialah Tun Dr Mahathir juga.

“Jangan andaikan BN tidak tahu apa-apa dan semudah itu untuk memutar belitnya.Kita juga tahu media antarabangsa mana yang disogok dan tahu siapa dari negara ini yang buat laporan. Jadi, jangan nak kelentong kita,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu

-Sinar Harian