Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Parti Komponen BN Amal Tolak Ansur Pembahagian Kerusi

BENTONG - Parti komponen BN di Pahang mengamalkan sifat tolak ansur dalam soal pengagihan kerusi pada pilihan raya umum, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata sehubungan itu parti komponen BN negeri akan akur dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan BN berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang akan ditandingi pada PRU14 akan datang.

“Setelah menjalin kerjasama sejak sekian lama, sikap tolak ansur ada pada setiap parti komponen BN yang membolehkannya kekal memegang tampuk pemerintahan negara,” katanya kepada media di Kampung Baris, Pelangai di sini, hari ini.

Adnan yang juga menteri besar berkata, manifesto BN negeri bagi PRU14 telah pun siap dengan berteraskan janji-janji yang lebih realistik untuk kebajikan rakyat berbanding manifesto pihak pembangkang.

“Manifesto mereka (pembangkang) tidak realistik, contohnya jika nak hapuskan semua cukai, di mana kerajaan akan peroleh pendapatan untuk perbelanjaan negara, jadi sebagai rakyat janganlah mudah tertipu. Inilah kerajaan (BN) yang selama ini telah berjaya menguruskan negara dan jaga kebajikan rakyat dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat khususnya di Pahang supaya tidak mudah tertipu dengan berita-berita yang memburukkan kerajaan tersebar di media sosial terutama menjelang musim PRU14 kerana ia merupakan usaha untuk menjatuhkan kerajaan BN.

- Bernama

#prusinar #aparakyatmahu