Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Seni Silat Perlu Dipertahankan: Zambry

TANJUNG MALIM - "Kegiatan seni silat di negara ini perlu dipertahankan terutamanya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan khazanah bangsa itu kekal terpelihara dan tidak luput ditelan zaman," kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, silat merupakan seni warisan bangsa yang mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri sewajarnya dipertahankan sampai bila-bila walaupun negara kini berdepan dengan cabaran media sosial yang menjadi platform utama ketika ini.

"Saya berbangga apabila terdapat anak-anak muda yang terlibat dengan seni silat dengan penuh komitmen dan begitu kental semangat jiwanya untuk mempertahankan warisan negara.

"Ini kerana silat itu falsafahnya terlalu besar dan ia merupakan penentu identiti kehidupan seseorang manusia, bangsa dan negara...oleh itu pertahankanlah, kembangkanlah semangat persilatan ini di mana sahaja berada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Menteri Besar Perak kesembilan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), di sini petang ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Presiden Pesaka Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Naib Canselor Upsi Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Dalam pada itu, Zambry berkata bakat baharu dalam seni silat dapat dilahirkan menerusi kejohanan tersebut sekali gus akan mewarnai persada seni silat seantero dunia.

"Selain itu, kejohanan ini juga dapat menyampaikan satu mesej besar kepada masyarakat di luar sana bahawa dengan penglibatan anak-anak muda dalam sukan silat, ia dapat membantu mereka memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah dengan cara mempertahankan diri seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan kejohanan ini termasuk barisan pegawai teknikal, wasit juri, pengurus, jurulatih, atlet silat, penaja serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini," katanya.

Seramai 3,000 pesilat mewakili 137 pasukan dari dalam dan luar negara antaranya Indonesia, Filipina, Brunei dan Vietnam menyertai kejohanan itu yang dianjurkan UPSI selama lima hari bermula semalam.

Kejohanan itu yang bertemakan 'Memartabatkan Warisan Bangsa' turut mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Pesaka.

- Bernama