Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Ahmad Bashah Yakin Pengundi Muda Sokong BN

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin kira-kira 500,000 pengundi muda di negeri itu akan menyokong BN pada PRU14 bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Beliau berkata, generasi muda sekarang bijak menilai dalam membuat keputusan demi masa depan diri dan keluarga walaupun ada pihak yang cuba memburukkan BN.

"Generasi muda sekarang mempunyai pandangan dan pemikiran yang jauh… jadi mereka akan terus sokong Umno dan BN untuk menerajui kepimpinan negara dan negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pendidikan Mara (EDUXTRA) Zon Utara di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata sebuah Institut Kemahiran Mara (IKM) dirancang dibina di Bukit Kayu Hitam berikutan kawasan tersebut bakal menjadi tumpuan selepas pembangunan projek Bandar Bebas Cukai (BBC) dilaksanakan.

"Sebelum ini IKM ada di Alor Setar, Sungai Petani dan Sik dan tempat yang dilihat sesuai untuk bina IKM baharu adalah di Bukit Kayu Hitam kerana kita lihat jumlah penduduk akan bertambah selepas BBC dilaksanakan," katanya.

- Bernama

#prusinar #aparakyatmahu