Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Kanak-Kanak Antara Tiga Cedera Parah

BIDOR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun antara tiga cedera parah dalam kejadian kemalangan di KM347.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang berhampiran susur masuk kawasan rawat dan rehat (R&R) Ladang Bikam turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang terselamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian kemalangan itu melibatkan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki kesemua mangsa.

Katanya, mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Nor Azirah Abdul Rani, 39; Abdul Rani Mustapha, 73, dan Muhammad Amsyar Qushairi, 7.

Menurutnya, mangsa yang cedera ringan dikenali sebagai Muhd Afifan Solehuddin, 16, Che Puan Hassan, 72, dan Muhammad Naufal Ajmal, 12 tahun.

"Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan masuk ke dalam RnR sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi susur masuk kawasan RnR oleh pemandu," katanya.

Som Sak berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor Ridzuan Bahida Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.50 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Mohd Nizam Mohd Affendi itu dengan kekuatan tujuh anggota dan sebuah jentera tamat pada jam 4.50 petang tadi,"katanya.

-Sinar Harian