Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

BN Jamin Teruskan Jualan Sentuhan Rakyat

BANDAR JENGKA - Jualan Sentuhan Rakyat dijamin akan dilaksanakan selepas pilihan raya berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Jaminan itu diberi Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said namun lokasinya akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, BN akan melakukan perkara terbaik bagi membantu rakyat terutama dalam mendapatkan harga barangan murah supaya tidak terus terbeban berbelanja.

“Malah kerajaan BN sedia mendengar pandangan, aduan, rintihan rakyat demi kebaikan bersama.

Beliau berkata, program Jualan Sentuhan Rakyat membuktikan kerajaan komited membela masyarakat luar bandar dan tanah rancangan Felda.

Ahli Parlimen Kuala Krau itu juga berkata, kerajaan turut menghargai Felda kerana mereka antara penyokong kuat BN.

Menurutnya, dalam hal lain boleh dilihat apabila setiap kali pembentangan bajet tahunan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan besar bagi pembangunan luar bandar dan tanah rancangan Felda.

“Kerajaan yakin masyarakat luar bandar dan Felda merupakan penyokong kuat BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan program anjuran Umno Bahagian Kuala Krau di Felda Jengka 19, kelmarin.

Hadir sama Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Salman wan Ismail, Ketua Pemuda Umno Kuala Krau Mohd Fadzlie Mubin.

Ismail berkata, pemansuhan hutang RM5,000 peneroka Felda membuktikan kerajaan prihatin dan komited selain manambah pelbagai projek prasarana untuk komuniti Felda dan luar bandar.

Manakala di Parlimen Kuala Krau pemberian 660 lot tanah tapak rumah untuk genarasi kedua Felda dan pembinaan 719 unit rumah kepada generasi kedua Felda juga membuktikan bahawa kerajaan BN serius membela golongan terbabit memiliki kediaman sendiri.

Mengikut harga pasaran rumah tersebut berharga RM140,000 seunit tetapi kerajaan prihatin dan memberi subsidi rumah tersebut bagi mengurangkan bebanan golongan genarasi kedua Felda.

Tambahnya, manakala pemberian 500 lot tapak rumah bagi belia belia di kampung pula membolehkan golongan terbabit membina kediaman sendiri melenyapkan tohmahan pembangkang kerajaan BN pilih kasih.

“Kesemua langkah kerajaan itu bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan kerajaan BN yang mereka pilih,” katanya.

-Sinar Harian