Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Pemain Muda Usah Berasa Tertekan - Bekas Pemain

Lee Wan Wah.Lee Wan Wah.

KUALA LUMPUR – Kurang tekanan diletakkan ke atas bahu pemain muda mampu memberi kelebihan  kepada skuad badminton lelaki negara membuat kejutan pada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, dari 20 hingga 27 Mei ini.

Bekas pemain beregu lelaki negara, Lee Wan Wah yang merupakan antara pemain skuad Piala Thomas memenangi  pingat perak dua kali pada 1998 dan 2002, berpendapat pasukan negara lebih menampilkan aksi meyakinkan apabila beraksi tanpa tekanan.

Mengambil contoh edisi 2014 di New Delhi, India, Malaysia yang dibarisi gabungan pemain senior dan junior, mampu membuktikan kemampuan mereka apabila mara ke final dalam pertarungan sengit sebelum tewas tipis 2-3 kepada Jepun.

“Pada ketika ini, kita akur mereka (pemain muda) bukan terdiri daripada pemain terbaik dunia, jadi mereka tidak seharusnya berasa tertekan berbanding pemain terkemuka dunia yang lain.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain muda, anggap saingan Piala Thomas seperti latihan harian, jangan bimbang soal menang atau kalah. Kalau menang bagus, jika sebaliknya mereka perlu bangkit dan kerja lebih keras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penajaan syarikat peralatan sukan, Fleet International Holdings Sdn Bhd kepada pasukan wanita Mauritius yang julung kalinya beraksi dalam saingan Piala Uber edisi kali ini.

Pasukan Piala Thomas kali ini diketuai jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, bersama-sama pemain muda, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Leong Jun Hao. Beregu lelaki dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Teo Ee Yi akan bergandingan dengan pemain profesional Mohd Arif Latif.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Rusia dan Algeria pada saingan Piala Thomas 2018.

“Saya berpendapat pasukan yang dipilih adalah terbaik ketika ini...peminat badminton perlu percaya dengan keputusan jurulatih dan kemampuan pemain.

“Walaupun Malaysia bukan pasukan yang kuat, semua boleh berubah sekiranya pemain memberi aksi cemerlang di gelanggang,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain perseorangan negara, Rashid Sidek berkata pemilihan Mohd Arif dalam pasukan negara adalah kepercayaan jurulatih terhadap pemain itu untuk memperkuatkan pasukan terutamanya acara beregu.

Rashid berkata sudah tiba masanya, Mohd Arif yang sebelum ini beraksi dalam acara perseorangan menunjukkan kemampuannya beraksi cemerlang dalam kategori beregu bersama Ee Yi.

“Jurulatih sudah melakukan penilaian mereka sendiri mengenai pemain yang dipilih. Ini peluang Arif membuktikan beliau boleh bermain dalam acara beregu bukan perseorangan sahaja,” kata Rashid.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah pada 1992.

-- BERNAMA