Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

AKSEM Rampas 1,000kg Daun Ketum Dalam Dua Kenderaan Di Tanah Merah

Gambar: Harian MetroGambar: Harian Metro

TUMPAT -- Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) menahan tiga lelaki dan merampas 1,000 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM50,000 yang dimuatkan dalam dua kenderaan di Tanah Merah, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kes pertama pada 3 petang, anggota Aksem menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta memuatkan 300kg daun ketum ketika melalui Jalan  Tanah Merah-Jeli di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah.

"Anggota Aksem terpaksa melepaskan satu das tembakan selepas kenderaan jenis Mercedes Benz yang dalam keadaan mencurigakan enggan berhenti selepas diarahkan.

"Setelah tayar bahagian belakang sebelah kiri terkena tembakan pemandu kereta itu kemudiannya berhenti dan mereka menyerah diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Bersama Pasukan Polis Marin dan Aksem di Markas Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata dalam kes kedua, Aksem menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Merah-Jeli di Kampung Batu 11, Tanah Merah kira-kira 3 petang semalam.

Beliau berkata pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menjumpai puluhan guni plastik berisi kira-kira 700kg daun ketum.

Katanya kesemua daun ketum yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari negeri utara Semenanjung dan dibawa ke negeri ini untuk diproses bagi pasaran tempatan.

Hasanuddin berkata kesemua suspek berusia antara 22 dan 34 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA