Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Saintis Bangun Peranti Saingi Anjing Dalam Kerja-Kerja Menyelamat

GENEVA -- Saintis telah membangunkan satu peranti elektronik yang kecil dan murah bagi mengesan manusia melalui bau serta boleh digunakan dalam kerja-kerja menyelamat ketika gempa bumi atau runtuhan salji, lapor agensi berita China Xinhua.

Penyelidik dari Institut Teknologi Persekutuan Zurich (ETH) dalam kenyataan pada Rabu menyebut mereka telah membangunkan teknologi pengesanan elektronik seperti anjing penyelamat yang amat murah.

"Anjing penyelamat yang terlatih masih pekerja terbaik ketika bencana, namun mereka sering tidak dapat disediakan segera dan pasukan anjing perlu melakukan perjalanan," kata saintis.

Peranti itu terdiri daripada gabungan sensor yang boleh mengesan aseton, amonia, isoprena, karbon dioksida dan kelembapan.

Kesemua produk metabolik ini dikeluarkan dalam kepekatan rendah melalui nafas atau kulit manusia.

Secara individu, kesemua bahan ini boleh didapati daripada sumber selain manusia seperti kebakaran, namun kombinasi sensor ini "menyediakan saintis dengan satu petunjuk yang boleh dipercayai berkaitan kehadiran manusia," menurut ETH.

Bagaimanapun, sensor itu setakat ini hanya diuji di makmal dengan kerjasama saintis Austria dan Cyprus.

Pasukan penyelidik, yang diketuai Sotiris Pratsinis, Profesor Kejuruteraan Proses di ETH Zurich, berhasrat menguji peranti bersaiz pin itu dalam keadaan sebenar bagi melihat kesesuaiannya bagi kerja mencari dan menyelamat.

'’Meskipun peranti elektronik sudah digunakan semasa pencarian selepas berlakunya bencana gempa bumi, mereka terpaksa bergantung kepada mikrofon dan kamera yang hanya boleh mengesan mangsa terperangkap yang mampu membuatkan diri mereka dilihat atau didengar di bawah runtuhan.'’

Justeru, saintis ETH ingin melengkapkan peranti sedia ada dengan sensor baharu yang mereka bangunkan.

Dron dan robot juga boleh dipasang dengan peranti ini, sekali gus membolehkan pencarian mangsa yang mungkin terselamat dilakukan di kawasan terpencil dan tidak dapat diakses.

Penggunaan berpotensi lain peranti ini termasuk mengesan penumpang gelap dan memerangi penyeludupan manusia serta pemerdagangan orang, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA