Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Subramaniam Tidak Pertahankan Jawatan Presiden MIC, Oktober Ini

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang dijadual Oktober ini.

Keputusan tersebut adalah susulan kekalahan teruk parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan parti kaum India itu hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya.

"Saya tidak akan bertanding tetapi berharap lebih ramai ahli dalam kalangan generasi muda akan mengambil bahagian dalam pemilihan parti kali ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Subramaniam, yang menggantikan Datuk Seri G. Palanivel pada 2015, berkata parti itu akan mengadakan 'post-mortem' berhubung PRU14 bagi mengkaji kelemahan dan melihat semula bagaimana untuk parti berusia 71 tahun itu kekal relevan kepada masyarakat India di negara ini.

"Kami perlu memastikan kelangsungan parti dalam tempoh lima tahun akan datang kerana kita tidak pernah berada di pihak pembangkang sebelum ini...selain itu kita juga akan mengkaji kedudukan parti dalam BN," kata bekas menteri kesihatan itu.

Mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sebelum ini, Dr Subramaniam berkata beliau menyerahkan keputusan pelaksanaannya kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

- BERNAMA