Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 12pm

Peniaga Didakwa Lakukan Amang Seksual Murid Tadika

Foto: Utusan OnlineFoto: Utusan Online

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Sabtu lalu.

Kamarulzaman Abd. Rashid, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ke atas murid tadika tersebut kira-kira 7.30 petang, 12 Mei lalu di dalam sebuah van jenis Nissan Vanette berwarna putih di tepi Jalan 4, Taman Pandan Mewah dekat sini.

Lelaki itu didakwa melakukan sentuhan seksual secara fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh yang hanya meniaga air itu tidak diwakili peguam merayu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Jun ini, sebutan semula kes.

- Utusan Online