Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Pemain Pelapis Kelantan Sedia Bersaing

 

KOTA BHARU -- Pemain pelapis Kelantan, Mohamad Hakimi Abdullah bersedia memberikan saingan bagi merebut tempat dalam skuad bawah 19 tahun Kebangsaan dikendalikan ketua jurulatih Bojan Hodak.

Mohamad Hakimi, 19, tidak sabar untuk membuktikan pemilihannya tepat selepas bersama pasukan Piala Belia Kelantan musim ini.

"Musim  lalu saya bermain bersama Pasukan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Rantau Panjang dan ianya rezeki saya untuk terpilih bagi menjalani latihan bersama pasukan bawah 19 tahun Kebangsaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Hakimi adalah antara 27 pemain yang dipanggil bagi menjalani latihan pusat di Kelana Jaya, Selangor bermula Ahad ini bagi persediaan menghadapi kejuaraan B-19 tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN  (AFF) di Indonesia Julai depan.

Pemain sayap kiri itu berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut yang menjadi impian setiap pemain bagi mewakili negara pada sesuatu kejohanan.

"Ianya memerlukan kerja keras dan kesungguhan saya sendiri untuk mendapat tempat sekaligus dapat menyumbangkan khidmat kepada pasukan," katanya.

Menurut anak kelahiran Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang itu persaingan bagi merebut tempat dan posisi adalah perkara biasa dalam sesuatu pasukan.

"Apabila berada peringkat mewakili negara, semua pemain tidak boleh bermain sambil lewa kerana terdapat ramai pemain yang mempunyai kualiti akan dipanggil oleh ketua jurulatih," katanya.

Setakat  pertengahan  musim ini, Mohmmad Hakimi telah menyumbang lima gol kepada pasukan Kelantan pada saingan Piala Belia.

-- BERNAMA