Fri05252018

LAST_UPDATEFri, 25 May 2018 12pm

Liew Mahu Wujudkan ‘Hotspot’ Di Lokasi Berpotensi Lonjak Pelancongan

KOTA KINABALU -- Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baharu Christina Liew bercadang mewujudkan ‘hotspot’ pelancong di beberapa lokasi tumpuan termasuk Sandakan dan Tawau bagi melonjakkan lagi industri berkenaan di Sabah.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata ini sebagai usaha merangsangkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan di kedua-dua daerah berkenaan sekali gus membantu penduduk menjana ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.

Mengambil contoh Tawau, Liew berkata dengan adanya ‘hotspot’, Tawau tidak akan hanya menjadi lokasi transit untuk para pelancong sebelum ke Semporna.

“Justeru, satu lokasi ‘hotspot’ perlu diwujudkan termasuk menjadikan Tawau sebagai hab makanan laut yang murah dan segar bagi membolehkan para pelancong tinggal dua atau tiga hari di Tawau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kabinet negeri dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Liew berkata buat masa ini  Sabah mempunyai beberapa ‘hotspot’ tumpuan pelancong seperti Gunung Kinabalu; Pusat Perlindungan Orangutan di Sandakan; dan Sipadan di Semporna; dan pihaknya akan meneruskan usaha melonjakkan lagi potensi pelancongan sedia ada.

Dalam pada itu, Liew berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua  jabatan di bawah kementeriannya minggu depan bagi mendapatkan taklimat dan penerangan lanjut berhubung pembangunan sektor pelancongan di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Liew yang juga wakil rakyat bagi kerusi  Parlimen Tawau turut memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa beliau akan melakukan terbaik selain menunaikan aspirasi manifestonya iaitu sentiasa telus dan bertanggungjawab dalam setiap amanah diberikan.

“Apa sahaja dana pembangunan diberikan dan dana pembangunan yang telah dibelanjakan, saya akan paparkan dalam satu laman web supaya rakyat boleh melihat di mana dana pembangunan itu pergi (digunakan). Tiada rahsia dan saya bertanggungjawab apa yang saya buat,” katanya.

-- BERNAMA