Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Malaysia Alami Pertumbuhan Ekonomi Mapan Pada 2018

KUALA LUMPUR -- Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada 2018 dijangka mapan kerana disokong oleh penggunaan swasta dan keputusan kerajaan baharu  untuk menyusun  semula projek mega.

Beliau berkata, penggunaan swasta, yang kini menyumbang 55.1 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menjadi pemacu utama pertumbuhan berdasarkan penarafan sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Jun.

"Pelaksanaan subsidi bahan bakar bersasar akan turut membantu meningkatkan sentimen di kalangan isi rumah. Tahap hutang isi rumah menurun sedikit kepada 84 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2018 berbanding 84.2 peratus pada suku sebelumnya.

"Oleh itu, kewangan isi rumah secara beransur-ansur bertambah baik yang akan memberi ruang untuk perbelanjaan pengguna yang mampan," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Afzanizam juga berkata, pertumbuhan 5.9 peratus tahun lepas menunjukkan bahawa ekonomi mungkin telah berkembang melepasi  potensinya dan memberi gambaran bahawa inflasi sedang berlaku.

"Bagaimanapun, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari boleh membantu ekonomi berkembang dengan lebih mapan. Pertumbuhan pelaburan menyederhana dan kadar inflasi terkawal pada  tahap rendah 1.8 peratus pada suku pertama.

"Kerajaan juga berusaha untuk menyusun semula projek mega dan ini akan dapat mengelak risiko ekonomi yang berkembang terlalu pantas dan mencetuskan inflasi. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi tahun ini akan menjadi mapan," katanya.

Ekonomi Malaysia meningkat 5.4 peratus pada suku pertama 2018 (1Q18), disokong oleh pengembangan sektor swasta yang berterusan dan sokongan kukuh daripada eksport bersih.

Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.4 peratus dalam 1Q 2018 adalah rendah daripada konsensus kebanyakan penganalisis kerana majoriti firma penyelidikan menjangka pertumbuhan antara 5.6 peratus dan 5.7 peratus.

Mohd Afzanizam berkata, Bank Islam bagaimanapun mengekalkan unjuran KDNK 2018 pada 5.5 peratus dan paras sasaran OPR pada 3.25 peratus sepanjang tahun.

 "Kami menjangka ringgit akan bergerak  antara RM3.85 dan RM3.95 berbanding dolar US tahun ini dan kadar inflasi meningkat kepada 2.5 peratus," katanya.

Seorang penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd menjangka pertumbuhan KDNK 5.7 peratus pada suku pertama disebabkan permintaan domestik yang lebih baik dan perbelanjaan awam yang lebih tinggi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Jika Malaysia mahu mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.5 peratus dan enam peratus tahun ini, pertumbuhan bagi separuh kedua tahun ini perlu lebih tinggi. Pada ketika ini, yang terbaik yang boleh kita lakukan ialah mencapai pertumbuhan 5.5 peratus pada 2018.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada permintaan domestik. Mungkin langkah kerajaan baru menyifarkan kadar GST dapat membantu meningkatkan penggunaan," katanya.

Seorang lagi penganalisis berpendapat pertumbuhan yang lebih rendah daripada jangkaan adalah kerana suku pertama adalah suku yang perlahan.

"Sukar untuk mengunjurkan pertumbuhan KDNK bergerak ke depan kerana belum ada pengumuman mengenai rancangan fiskal," tambahnya.

-- BERNAMA