Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Sumbangan Sektor Petroleum Meningkat Hampir Dua Kali Ganda Pada 2018

KUALA LUMPUR -- Hasil sumbangan sektor petroleum bagi tahun ini diunjur meningkat hampir dua kali ganda kepada kira-kira RM60 bilion berbanding RM38 bilion yang diraih pada tahun lepas berikutan peningkatan harga minyak global yang mencecah sekitar US$79.41 setong.

Perkembangan itu disifatkan sebagai berita baik untuk Malaysia yang merupakan pengeksport minyak bersih. 

Pada masa sama, ia juga menepati ikrar kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pelaburan Eksekutif Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berpendapat, hasil sektor petroleum sebanyak RM38  bilion itu adalah berdasarkan harga minyak mentah yang mencecah US$52 setong.

“Itu (hasil) adalah menyamai 15 peratus daripada hasil kerajaan. Namun kini dengan harga minyak diniagakan kira-kira US$80 setong, hasil petroleum kerajaan berkemungkinan besar meningkat sebanyak 25 peratus,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Selain itu, kata Nazri Khan, kerajaan juga akan mendapat hasil tambahan menerusi pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Semalam, Kementerian Kewangan berkata inisiatif pembaharuan fiskal negara sedang dirangka susulan pengumuman GST pada kadar sifar berkuat kuasa pada 1 Jun, 2018.

Malah, susulan pemansuhan GST sepertimana dijanjikan kerajaan PH dalam tempoh 100 hari pentadbirannya, kerajaan akan memperkenalkan semula SST.

Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan mencatat kutipan GST sebanyak RM44 bilion pada 2017 – meningkat sedikit berbanding RM41 bilion pada 2016.

GST pada kadar 6.0 peratus itu yang dilaksanakan pada 1 April, 2015 bagi menggantikan SST dan Malaysia merupakan antara 160 negara yang melaksanakan cukai tersebut.

Najib berkata, GST itu akan membolehkan kerajaan mengatasi kelemahan sistem pencukaian semasa seperti kesan cukai berganda, ketiadaan pengecualian penuh dalam barangan eksport serta isu membabitkan pemindahan harga.

“Jika kita membeli satu tin air berkarbonat di restoran, kita sebenarnya membayar cukai berganda –cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Menerusi sistem GST, pengguna hanya membayar satu cukai dan harga barang adalah lebih murah,” kata Najib yang dipetik berkata demikian ketika membentangan Bajet 2014 di Parlimen.

Cukai itu membabitkan 553 jenis barangan dan perkhidmatan berkadar sifar manakala 25 lagi dikecualikan daripada cukai itu.

Nazri Khan berpendapat, pemansuhan GST itu akan merancakkan ekonomi, sentimen belian serta mengurangkan harga hartanah.

Sementara itu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia mampu memenuhi ketetapan hasilnya biarpun selepas memansuhkan GST dengan meneliti keutamaan projek, mengelak pembaziran dan meninjau sumber pendapatan baharu.

Sambil menyifatkan ekonomi Malaysia sebagai rancak, beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa ia dapat dikemudi ke arah tepat dan tempoh 100 hari itu memadai untuk memberi kejelasan dan melaksanakan pelarasan dan perubahan sewajarnya.

-- BERNAMA