Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 12pm

Operasi Pusat Khidmat ADUN Kuah Tertangguh, Pejabat Dirosakkan

Mohd Firdaus Ahmad.Mohd Firdaus Ahmad.

LANGKAWI -- Hasrat wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah yang baharu Mohd Firdaus Ahmad menjalankan tugasnya di sebuah bangunan milik kerajaan di sini terpaksa ditangguhkan apabila ruang pejabat itu didapati dalam keadaan rosak, dipercayai akibat vandalisme.

Beliau berkata bangunan pejabat yang dahulunya digunakan bekas Anggota DUN Kuah Nor Saidi Nanyan mengalami beberapa kerosakan dalaman dan memerlukan masa untuk dibaiki.

“Sejak menang sampai hari ini saya tidak dapat melakukan kerja-kerja yang lebih khusus kepada DUN Kuah kerana tak ada pejabat dan saya berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tiga hari untuk saya melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan program pengagihan bubur lambuk Adya Hotel Langkawi, sebuah hotel milik kerajaan negeri di sini.

Katanya beliau juga tidak mahu isu itu berpanjangan sebaliknya hanya ingin melihat kerosakan terbabit dibaiki segera.

“Kita tidak menuduh mana-mana pihak cuma kita rasa benda-benda ini tidak harus berlaku kerana itu adalah bangunan kerajaan. Merosakkan harta kerajaan adalah satu kesalahan dan (membazir) kalau kita gunakan duit rakyat untuk baiki balik.” katanya.

Sementara itu beliau berkata inisiatif Adya Hotel mengadakan program pengagihan bubur lambuk dan meraikan golongan kurang berkemampuan wajar dicontohi oleh perusahaan-perusahaan pelancongan di pulau ini.

Katanya hotel milik kerajaan negeri itu sudah memulakan satu tradisi untuk sama-sama berkongsi manfaat daripada kejayaan perniagaannya kepada komuniti setempat.

Wakil rakyat kerusi DUN Ayer Hangat,Juhari Bulat dan Pengurus Besar Adya Hotel Razmi Rahmat turut sama mengagihkan kira-kira 600 bungkusan bubur lambuk pada program itu.

-- BERNAMA