Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 3pm

Persatuan Teksi Sokong Pembubaran SPAD

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) menyokong tindakan kerajaan untuk membubarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kerana dilihat gagal memainkan peranan dalam menjaga hal ehwal pengangkutan awam negara terutamanya industri teksi.

Presidennya, Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, SPAD tidak mengendahkan nasib pemandu-pemandu teksi walaupun telah berkali-kali mengadu kepayahan mereka kerana terpaksa bersaing dengan perkhidmatan teksi berasaskan aplikasi atau e-hailing seperti Uber dan Grab.

Jelasnya, kegagalan SPAD semakin ketara apabila dilihat lebih banyak mempromosikan e-hailing tanpa bersungguh-sungguh mempertingkatkan kualiti perkhidmatan teksi yang sedia ada.

“Kami setuju (pembubaran SPAD) kerana selama ini tidak banyak membantu industri teksi.

“SPAD merupakan agensi penguat kuasa tetapi tidak berfungi seperti diharapkan dalam menjaga hal ehwal kami dan keseluruhan industri pengangkutan awam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Syahrir tidak menolak gesaan supaya kerajaan Pakatan Harapan mengharamkan e-hailing di negara ini seandainya masih gagal menyediakan persekitaran persaingan yang sama adil antara e-hailing dan perkhidmatan teksi sedia ada.

- UTUSAN ONLINE