Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Penghantaran 1.5 Juta Pekerja Bangladesh Akan Dikaji Semula

KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan terdahulu dengan kerajaan Bangladesh berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta pekerja negara itu ke negara ini dalam masa tiga tahun yang dimeterai pada tahun 2016 akan dikaji semula dalam masa terdekat.

Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran berkata, perkara tersebut adalah kerana kerajaan kini ingin mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

“Kita tahu masalah berkenaan gaji adalah antara faktor menyumbang kepada masalah lambakan pekerja asing dan kementerian akan bermesyuarat berkenaan gaji minimum dalam masa beberapa minggu.

“Dalam masa sama, saya ingin menekankan peningkatan gaji juga bukan merupakan jawapan kepada masalah ini tetapi kita juga akan fokus untuk menstabilkan harga barang dan mengurangkan hutang negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas bermesyuarat di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

- UTUSAN ONLINE