Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

Zahid Sah Bakal Tanding Jawatan Presiden UMNO

RASMI… Seperti diduga, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti tersebut kali ini.

Media melaporkan bahawa perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbar Naib Presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas sebagai presiden parti, Mejar Jeneral Datuk Fadzlette Othman Merican.

Menurutnya, borang pencalonan Ahmad Zahid yang juga Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk jawatan itu menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dihantar kepada ibu pejabat parti semalam.

“Beliau akan bertanding jawatan presiden dan menjadi individu pertama yang telah pun mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat UMNO semalam,” kata Fadzlette ketika dihubungi media hari ini.

Najib yang juga bekas perdana menteri dan pengerusi BN pada 12 Mei lalu mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti berkenaan susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO yang ketika ini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein masih belum memutuskan jawatan yang akan ditandinginya.

Menurut makluman Setiausaha Akhbar beliau, Fadzli Mohamad Kamal, bekas menteri pertahanan tersebut secara kebetulan ketika ini sedang sibuk berada di tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.

Pemilihan UMNO sempena dengan perhimpunan agung parti pada kali ini menyaksikan semua jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden bakal dipertandingkan secara lebih terbuka.

Bagi pemilihan kali ini, pendaftaran pencalonan bagi semua jawatan boleh dibuat menerusi dalam talian. Pemilihan kali dilaksanakan melalui konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak lain.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA