Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

Pasukan Bola Sepak England Dinasihat Lindungi Maklumat Peribadi

LONDON: Bintang bola sepak Piala Dunia England diberi taklimat oleh pakar keselamatan cara mengelak daripada penceroboh komputer ketika kejohanan di Russia berlangsung.

Anak buah dan kakitangan kejurulatihan Gareth Southgate menerima nasihat daripada Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCHC) Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) mengenai cara melindungi maklumat dan pemilikan peribadi mereka.

Penceroboh komputer Russia mencetuskan kekecohan dengan serangan siber global sejak beberapa tahun ini, termasuk mensasarkan pelumba basikal terkemuka Britain, Bradley Wiggins, dan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) memanggil pakar dalam usaha mengelakkan sebarang pelanggaran keselamatan Piala Dunia.

Menurut laporan Daily Mail, perisian perlindungan ditambah kepada telefon bimbit dan peranti milik pemain yang cuma akan dibuang sebaik mereka kembali ke England.

Ketika seminar baru-baru ini di ibu pejabat FA baru-baru ini di St George's Park, pemain England yang tiba di Russia semalam dinasihatkan tidak menggunakan akaun bank atas talian ketika di negara itu dan mengelakkan sebarang aktiviti atas talian yang boleh memalukan mereka jika ia disebarkan kepada umum susulan pencerobohan komputer.

Pemain termasuk ketua pasukan England, Harry Kane, juga diberitahu cara menyembunyikan barangan mereka dalam bilik hotel, manakala peminat yang mengunjungi Russia juga diberi amaran keselamatan.

"NCSC menyediakan nasihat keselamatan pakar siber kepada FA menjelang keberangkatan mereka ke Russia bagi menyertai Piala Dunia FIFA 2018.

"Blog NCSC baru-baru ini menyatakan nasihat kepada pengguna menggunakan peranti ketika di luar negara, yang perlu dibaca selain Nasihat Perjalanan dan garis panduan yang ditawarkan di laman web 'Be on the Ball: World Cup 2018'," kata jurucakap NCSC.

- AGENSI