Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

Najib Usah Tegak Benang Basah - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah ingin menegakkan benang yang basah berhubung jumlah sebenar hutang negara.

Guan Eng berkata, banyak hutang kerajaan yang dijamin sebelum ini terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sekarang.

"Najib dilihat sentiasa menekankan fakta hutang secara langsung kerajaan iaitu sebanyak RM687 bilion bersamaan 50.8 peratus, sedangkan kerajaan kini juga perlu menanggung hutang yang dijamin kerajaan terdahulu.

"Jadi, apabila Najib menggunakan laporan Moody's (agensi penarafan antarabangsa) sebagai alibi bahawa hutang negara tidak mencecah RM1 trilion, beliau hanya menegakkan benang yang basah," katanya pada satu media, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, mengambil contoh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik berkenaan tidak mampu melangsaikan hutang dan kerajaan kini terpaksa menanggung segala bebanan itu.

"1MDB sudah bankrap. Jadi, siapa yang perlu membayar semua hutang itu, sudah pasti kerajaan sekarang," katanya.

Guan Eng turut melahirkan kesal beliau kepada Najib masih enggan mengakui hutang negara melebihi RM1 trilion.

"Kita tak mahu jadi seperti katak di bawah tempurung, cuba sembunyi keadaan sebenar. Kita harus berani berdepan hakikat supaya dapat bersama-sama selesaikan hutang negara yang besar," katanya.

Laporan Moody's hari ini mengekalkan anggaran beban hutang langsung Kerajaan Malaysia pada kadar 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sama seperti tahun 2017.

Dalam laporan bertajuk 'Kerajaan Malaysia: Soalan lazim mengenai implikasi kredit dasar kerajaan baharu', agensi itu berkata, penilaian terhadap risiko liabiliti luar jangka ditimbulkan institusi awam sektor bukan kewangan juga tidak berubah meskipun terdapat beberapa kenyataan dibuat pentadbiran kerajaan semasa.

"Bagaimanapun, tindakan kerajaan mengkaji semula projek infrastruktur berskala besar yang mendapat manfaat daripada pinjaman dijamin kerajaan terdahulu dan hutang tertunggak daripada dana kerajaan, 1MDB akan memainkan peranan penting dalam menentukan risiko yang timbul daripada liabiliti luar jangka kepada profil kredit," kata agensi itu.

- BH Online