Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

Teruskan Bersama Umno, Ketika ALLAH Menguji

PAHANG - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut semua ahli parti itu meneruskan perjuangan walaupun sedang berhadapan dengan ujian berat ketika ini.

Najib berkata, ketika Umno sedang diuji, besar harapannya agar semua ahli Umno tetap istiqamah dan tidak membiarkan parti yang diasaskan sejak 72 tahun lepas berakhir atau tidak lagi mendapat tempat mahupun dianggap sudah tidak relevan.

"Lihat apa sedang berlaku ini adalah perjuangan amat menguji kita. ALLAH letakkan ujian sangat besar (untuk melihat) jika kita mempunyai kesungguhan dan menghidupkan kembali perjuangan asal Umno.

"Ketika Umno ditubuhkan untuk menentang Malayan Union, kita tidak mempunyai kekuatan termasuk kekuatan ekonomi. Tapi kita ada kekuatan semangat dan perpaduan…dengan itu sahaja, kita menumbangkan Malayan Union," katanya.

Beliau berkata, sudah tentu dalam perjuangan tidak semuanya akan melalui ‘jalan manis’, sebaliknya sesekali akan berdepan laluan berliku atau jalan buntu dan hanya yang cekal, berlapang dada serta istiqamah akan memperoleh kejayaan.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Golongan Asnaf di Masjid Kampung Tanjung Agas di Pekan, Pahang hari ini.

Mengambil semangat perjuangan anggota Umno terdahulu, Najib mengingatkan anggota parti untuk “terus berjuang selagi ada nafas bertiup dan selagi ada roh dalam jasad sehingga muncul kebenaran dengan izin ALLAH”.

Najib berkata, sumbangan dan jasa Umno dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan termasuklah di Kampung Tanjung Agas yang menikmati kemudahan infrastruktur termasuk masjid berhawa dingin.

- Bernama