“Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Seri Paduka pada 8 Jun lalu dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit Bahagian Urusan Diraja Istana Negara bertarikh 11 Jun lalu,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu menambah, pada 15 Mei lalu, Raus dan Zulkefli telah bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyampaikan hasrat untuk meletakkan jawatan.

“Walau bagaimanapun, kedua-
dua mereka memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada ta­rikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman di­selesaikan,” katanya.

Raus dan Zulkefli telah dilantik ke jawatan ma­sing-masing pada April tahun lalu selepas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bersara wajib pada usia 66 tahun.

Kedua-dua mereka dilantik sebagai hakim tambahan untuk tempoh masing-masing tiga tahun dan dua tahun supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam jawatan berkenaan walaupun telah mencapai umur persaraan 66 tahun.

Raus sepatutnya bersara pada 3 Ogos tahun lepas manakala Zulkefli pada 27 September tahun lepas selepas lanjutan selama tempoh enam bulan apabila mencapai umur 66 tahun.

Umur persaraan bagi hakim adalah 66 tahun.

Menurut Artikel 122(1) Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan.

Tidak seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, hakim tambahan tidak mempunyai had usia.

Langkah itu mencetuskan bantahan termasuk oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang melihat tindakan itu menampakkan Kerajaan Persekutuan ketika itu mahukan mereka terus kekal menyandang jawatan masing-masing.

-Utusan Online