Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

Tragedi Rempuh Pembahagi Jalan

WANITA maut manakala suaminya parah selepas kereta dinaiki terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 189.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bagan Serai, hari ini. 

Dalam kejadian pada 5.15 petang itu, penumpang Toyota Vios Siti Fadzillah Md Desa, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Shaikh Salim Shaikh Zakaria 62, yang memandu kereta, parah.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai menghala ke Kamunting dari arah Pulau Pinang.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan yang dipandu suami mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Kemalangan terbabit menyebabkan penumpang hadapan kereta (Siti Fadzillah) maut di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Taiping, manakala suami mangsa yang parah dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.30 petang lalu bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-Harian Metro