Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

Menangani Stres Wanita Balik Kampung Menjelang Raya

Foto: Berita HarianFoto: Berita Harian

Amilia menyinsing lengan sambil melipat baju raya anak-anak, masuk ke dalam beg besar. Memang hati berbunga-bunga untuk balik kampung, namun selagi belum masuk dan duduk di kereta, Amilia seperti berpencak-silat. Semalamnya Amilia masih sibuk bekerja. Hanya ada beberapa jam lagi sebelum bertolak balik kampung kalau mahu berbuka di rumah petang ini. Baju hari raya, baju malam raya, baju masak, baju tidur, baju dalam, kuih raya, duit raya untuk anak-anak saudara, berus gigi. Oh ya, charger dan segala...

Memang wanitalah yang paling stres menjelang raya! Antara stres paling utama ialah stres mengemas beg balik kampung. Belum lagi mengambilkira stres sedia ada dalam mengendalikan karenah anak-anak dan suami.

Stres selalunya nampak seperti datang dari ‘luaran’; misalnya stres kerana banyaknya kerja yang perlu dibuat dalam masa yang singkat. Memang banyak panduan praktikal boleh dipelajari seperti cara merancang perjalanan, cara melipat baju dan lain-lain. Cuma, ramai wanita tidak menyedari bahawa penentu tahap stres seseorang sebenarnya bukanlah sangat apa yang berlaku di persekitarannya. Apa yang lebih menentukan tahap stres seseorang sebenarnya adalah apa yang berlaku dalam dirinya.

Wanita pun perlu ada banyak strategi untuk menangani stres ‘dalaman’ ini. Wanita yang sememangnya kaya emosi, kaya kasih sayang dan sangat mengambil berat sifatnya, perlu ada banyak strategi untuk memastikan dirinya kekal tenang dengan tahap stres yang terkawal. Ini penting agar wanita boleh terus mempunyai ‘ketahanan psikologi’ untuk mendepani pelbagai stres dan cabaran yang terus-menerus mewarnai hidup mereka.

Strategi pertama menangani stres wanita bermula dengan mengenali personaliti dan karakter diri. Adakah anda seorang yang teliti dan sentiasa inginkan kesempurnaan atau seorang yang lebih-kurang sahaja? Adakah anda seorang yang suka membuat perancangan atau suka membuat kerja pada saat akhir? Andakah anda perisau atau seorang yang selamba sahaja?

Setiap kita adalah unik, kekuatan kita boleh menjadi aset namun dalam masa yang sama juga menjadi punca stres. Contohnya, sifat seseorang yang penuh ketelitian boleh menjadi aset kerana dengan sifat itulah dia memilih baju, sampin, kasut sedondon untuk anak-anaknya dan tidak terlupa perkara kecil-kecil seperti butang baju melayu atau pin tudung. Namun sifat teliti berlebihan boleh mendatangkan stres kerana masa yang panjang perlu diambil untuk mencapai ‘kesempurnaan’ yang diharapkan. Seseorang juga akan menjadi kurang fleksibel dan akibatnya mudah rasa kecewa. Seseorang yang boleh berlebih-kurang atau fleksibel pula kekuatannya mereka mudah bertolak-ansur dan dibawa berbincang namun kadang-kadang jadi lambat membuat keputusan atau mudah bertukar fikiran.

Apabila ada kesedaran tentang personaliti diri dan kekuatan serta cabarannya, barulah boleh kita menguruskannya. Mereka yang menyedari dirinya terlalu mementingkan kesempurnaan; perlu berusaha jadi lebih fleksibel, atau perlu membuat persediaan lebih awal. Mereka yang lebih-kurang perlu belajar membuat senarai agar tidak ada yang terlupa atau tertinggal.

Kedua, bukan setakat mengenali personaliti dan karakter, wanita juga perlu mempunyai kesedaran emosi setiap masa. Wanita yang kaya emosi sentiasa mempunyai jangkasuhu emosi yang turun naik. Anda perlu tahu apa perkara-perkara sensitif yang mudah mengganggu emosi, contohnya ada yang rasa ‘pantang menunggu’ atau pantang tidak tepati masa, jadi pekalah kepada apa yang menjadikan emosi mudah terganggu . Apabila anda peka, anda bersedia menguruskan emosi tersebut. Proaktif dan responsif lebih baik daripada menjadi reaktif. Sekiranya anda mula sedar anda sudah merasa letih atau rasa ingin marah, mungkin lebih baik anda berehat seketika, menarik nafas dalam-dalam dan bertenang atau melakukan aktiviti penjagaan diri seperti mandi, solat atau tidur seketika. Sekiranya anda tidak berbuat demikian, anda mungkin bertindak dengan membuat sesuatu yang anda kesali seperti memarahi anak anda pula.

Wanita yang sifat semulajadinya sangat prihatin sering merasa bersalah apabila merasakan diri tidak dapat membuat sesuatu seperti diharapkan. Rasa bersalah tertinggal barang, rasa bersalah dan mengkritik diri bila masakan tidak menjadi, rasa bersalah kerana suami berdiam diri seperti tidak berpuashati atas sebab yang tidak pasti. Wanita yang sememangnya prihatin ini sering berfikir macam-macam selepas sesuatu berlaku dan lebih mudah risau mengenai apa yang belum berlaku.

Namun siapa yang akan prihatin dan mengambil-berat diri wanita?

Jawapannya, wanita yang prihatin itu sendiri perlu menjadi sahabat baik kepada dirinya! Sahabat baik tidak akan menyalahkan sahabatnya tapi akan memujuk dan menunjukkan empati. Menjadi sahabat baik kepada diri sendiri, bermakna wanita itu tidak berkata begini, “Teruknya aku ni! Kalau tak pelupa tak sah! Inilah silap aku tak pernah insaf untuk buat persiapan awal-awal! Nak menyesal nak sedih pun tak berguna!”

Sebaliknya, melalui strategi menjadi sahabat baik kepada diri sendiri, bermakna wanita itu dapat mengatakan kepada dirinya, “Aku memang sedih sangat sekarang. Tapi beginilah hidup, penuh suka-duka, ujian, salah dan silap kadangkala tidak dapat dielakkan. Realiti kehidupan adalah tak semua yang dirancang jadi kenyataan. Aku mengambilberat diriku, aku dah buat yang terbaik, aku menghargai, mengasihi dan menyayangi diriku walau apapun yang terjadi.”

Strategi ‘self-compassion’ dipopularkan oleh Dr. Kristin Neff dari University of Texas, sangat membantu untuk mengurus emosi dan mengurangkan stres. Melalui strategi ini, kita menerima emosi diri, menganggap itulah lumrah kehidupan dan menyatakan kita mengambil-berat kepada diri sendiri tanpa menyalahkan dan mengkritik diri.

Semua strategi ini bukan sahaja membantu wanita mengatasi stres sebelum raya, namun apa juga stres lain dalam kehidupan. Jadi tidak kiralah berapa beg pun yang anda perlu siapkan untuk balik kampung, cubalah bermula dengan memerhatikan dan memahami personaliti diri seterusnya cuba jadi lebih peka terhadap emosi, barulah anda boleh menguruskan diri dengan lebih baik. Sambil terus melipat kain, perhatikan apa dialog yang anda sedang fikirkan. Dialog bagaimanakah yang ingin anda pilih untuk berbicara dengan diri sendiri?

Sayangilah diri anda untuk menyayangi ramai insan tersayang di sekeliling anda!

 

Dr Umi Adzlin Silim
Pakar Psikiatri dan Jawatankuasa Saintifik International Muslim Mental Health Conference, Malaysia, 2018