Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

39 Maut Pertempuran Sengit Di Hodeidah

ADEN: Pesawat juang dan kapal perang pakatan tentera Arab menyerang kedudukan pemberontak Houthi di Hodeidah buat hari kedua semalam, ketika ia cuba merampas bandar raya pelabuhan itu dalam pertempuran terbesar perang yang mencetuskan krisis kemanusiaan paling teruk dunia.

Pasukan perubatan berkata, pertempuran itu membunuh 39 militan di luar bandar raya itu.

Dua penduduk berkata, helikopter tempur Apache melakukan serangan di wilayah pesisir pantai berhampiran lapangan terbang bandar raya itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berusaha mengelakkan gangguan kepada pelabuhan berkenaan, lokasi utama bagi bantuan makanan ke negara yang menyaksikan 8.4 juta penduduknya di ambang kelaparan, berpotensi menjadi kes kebuluran paling buruk dunia.

Tentera pakatan Arab juga menyerang jalan utama menghubungkan Hodeidah dengan Sanaa untuk menyekat pasukan bantuan, penduduk dan pegawai tentera anti-Houthi.

"Penduduk ketakutan. Kapal perang menakutkan dan jet pejuang berlegar di atas sepanjang masa.

"Penduduk melarikan diri dari bandar raya itu ke pinggir bandar tetapi bagi mereka yang tiada saudara di situ atau wang, tiada jalan keluar untuk mereka," kata Amina, 22, yang tinggal berhampiran pelabuhan itu.

- AGENSI