Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 3pm

Hilang Rasa Berharap: Satu Tragedi

Syawal menghadirkan kita harapan dan kegembiraan. Perjuangan gigih dalam bentuk fizikal dan spiritual bertemu garis penamatnya tatkala langit merah senja Ramadhan berlabuh buat kali terakhir.

Namun di saat manusia lain girang dengan temasya Syawal ini, ada yang mungkin sedang bertarung dengan isu-isu kesihatan mental contohnya menderita penyakit kemurungan.

Penyakit kemurungan yang terbiar tanpa rawatan dan perhatian akan menyebabkan individu kehilangan rasa berharap dalam hidup. Natijahnya, rasa berharap yang hilang dalam diri berisiko mendorong seseorang itu membunuh diri.

Hilang Rasa Berharap

Desmond Tutu berkata, harapan itu adalah kemampuan melihat cahaya walau sekelumit di dalam kegelapan yang pekat. Ia satu keperluan yang memandu manusia untuk terus bergerak walaupun dunia terus bermusuh dan menghalanginya. Hampir semua manusia mempunyai rasa berharap. Tanpa diajar, rasa itu ada menemani manusia di dalam kepayahan.

Walaubagaimanapun, aneh untuk si pemurung, rasa berharap itu sesuatu yang hampir mustahil. Ia sukar diketemukan dan jauh tertanam ke lubuk sanubari. Walaupun dirangsang dengan pelbagai bentuk perkara riang seperti suasana Hari Raya, motivasi dan daya maju si pemurung tetap tersangkut dan tidak dapat dibawa naik. Begitu kental dan kejamnya penyakit kemurungan ini.

Mengenali Penyakit Kemurungan

Kesedihan berterusan tanpa henti, mudah rasa bersalah, kurang selera makan, daya tumpu yang merosot, masalah tidur dan rasa diri tidak berguna adalah contoh simptom-simptom kemurungan. Selain daripada itu, fungsi diri yang merudum dan jangka masa penderitaan yang panjang adalah kriteria utama menunjangi penyakit jiwa ini.

Penyakit kemurungan itu bertahap. Yang ringan dan sederhana itu mungkin boleh diselesaikan dengan kaunseling dan pendekatan psikologi. Antara perkara yang diterapkan adalah penjanaan keyakinan diri, latihan berfikir positif, menyusun semula corak pemikiran yang tidak sihat dan juga teknik perilaku yang bermanfaat.

Tidak seperti kemurungan yang ringan, kemurungan bertahap teruk itu memerlukan rawatan ubat dan kadangkala terapi elektro-konvulsif. Terapi elektro-konvulsif ini adalah rangsangan elektrik bervoltan rendah yang diberikan untuk pesakit tertentu dalam keadaan mereka dibius. Terapi ini mujarab dan pesakit tidak mengalami kesakitan. Pil-pil pula dipanggil antidepresan dan diberikan secara berterusan dengan dipantau oleh doktor psikiatri.

Neurosains

Ada yang mungkin bertanya, masakan satu masalah emosi itu selesai dengan sekadar beberapa pil? Menyuakan butir-butir pil kepada pesakit psikiatri itu bukanlah berasaskan pendapat semberono sang doktor. Neurosains sebagai satu bidang sains tulen yang mengkaji struktur otak dan saraf telah membantu pengkajian dan penghasilan ubat-ubatan.

Melalui langgam sains ini, kemurungan major dibuktikan mempunyai kecelaruan bahan kimia dalam struktur otak kita. Ketidakseimbangan inilah yang diuruskan oleh ubat-ubat seperti antidepresan.

Selain daripada penyakit kemurungan, sifat pengharapan juga ada asas dari sudut neurosains. Dr. Louis Gottschalk bersama rakan-rakan telah menemukan tempat ‘punca’ sifat berharap ini. Melalui kajiannnya, dia telah membezakan responden mempunyai sifat berharap yang tinggi daripada yang rendah dari segi lokasi di medial, subcortical dan lateral cortical di dalam otak.

Pendekatan Menyeluruh

Bagaimana pula dengan anggapan bahawa kemurungan ini berpunca daripada kelemahan iman semata-mata? Keutuhan iman tidak dinafikan membantu sahsiah diri merenangi samudera hidup yang penuh gelora dan cabaran. Namun itu tidak membuktikan kemerosotan iman menyebabkan penyakit mental.

Pendekatan menyeluruh atau holistik membawa kepada kefahaman yang perawatan penyakit jiwa itu tidak berkisar seputar satu aspek sahaja. Penyakit kemurungan itu berpunca daripada faktor-faktor yang rencam sebagaimana terbukti dalam bidang sains tulen dan sains sosial.

Evolusi bidang perubatan psikologi menyaksikan pendekatan rawatan psikiatri menjadi lebih holistik atau lengkap pada masa kini. Kalau dulunya ia hanya mementingkan aspek biologi dan psikologi tetapi kini komponen spiritual juga diambil kira. Unsur rohani yang merentas agama ini dikaji secara empirikal dan mengayakan lagi bidang perawatan penyakit jiwa.

Perbincangan Kesihatan Mental

Perkembangan dan pemantapan dalam usaha menangani isu kesihatan mental bergantung kepada pengkajian dan perbincangan yang berterusan. Ia tidak boleh dilakukan dalam konteks yang jumud. Kepelbagaian budaya dan agama harus diambil kira. Ilmu psikiatri itu pula mesti dirakyatkan lantas sifatnya itu membumi dan difahami marhaen.

Lantaran hakikat itu, pada 4 hingga 5 Julai 2018, akan diadakan satu persidangan antarabangsa di Universiti Putra Malaysia. Persidangan ini menemukan pakar psikologi dan doktor psikiatri seluruh dunia untuk membincangkan masalah kesihatan mental yang berkait rapat dengan aspek spiritual dan keagamaan. Persidangan Kesihatan Mental Muslim 2018 (International Muslim Mental Health Conference 2018 #IMMHC2018) ini menerima penyertaan sesiapa sahaja yang ingin memperkasa diri dengan maklumat terkini tentang isu kesihatan mental.

Kehilangan rasa berharap itu adalah satu tragedi. Kemurungan itu juga satu tragedi. Namun tragedi yang lebih teruk adalah apabila masyarakat memperlekeh penyakit jiwa dan tidak memandang ia melalui perspektif perubatan. Syawal bukan sekadar bulan bergembira tetapi juga untuk menginsafi keberadaan saudara-saudara yang tidak bernasib baik.

 

Dr. Zul Azlin Razali

Pakar Psikiatri di Universiti Sains Islam Malaysia, juga Jawatankuasa International Muslim Mental Health Conference 2018, Malaysia.