Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 3pm

Kuih Makmur, Baju Melayu Ungu Kegemaran Tun Mahathir

Foto: Sinar HarianFoto: Sinar HarianKUALA LUMPUR: Hari ini seluruh rakyat Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Sempena kehadiran Syawal, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan rakaman video istimewa mengenai sambutan Hari Raya kali ini.

Dalam video berdurasi 4 minit 33 saat itu, Tun Mahathir memilih kuih makmur sebagai kuih raya kegemarannya.

“Kuih makmur kurang gula...dulu banyak gula sekarang kurang gula,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkongsi lagu raya pilihannya, iaitu lagu Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Sudirman Arshad.

Ditanya mengenai warna baju Melayu kegemarannya, Tun Dr Mahathir sambil tersenyum mengatakan gemar warna ungu.

Selain itu, saat berkumpul bersama keluarga selepas pulang menunaikan solat sunat Aidilfitri dan berhari raya bersama keluarga merupakan memori indahnya setiap kali lebaran.

“Ada pada satu hari raya tu semua ahli keluarga ada bersama...kadang-kadang ada yang tak dapat datang tu tak begitu ceria la.

“...tapi pada satu tahun tu kita dapat semua sekali bersama dan dapat ambil gambar seluruh keluarga,” katanya.

Walaupun hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa, Dr Mahathir mengakui terpaksa bekerja sehingga ke petang bagi menyelesaikan kerja yang bertimbun di pejabatnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berpesan kepada pengguna jalan raya agar memandu dengan cermat dan tidak gopoh bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

“Kepada semua yang sedang balik ke kampung ingatlah keluarga menunggu dan janganlah kecewakan mereka dengan terlibat dalam kemalangan di jalan raya,” tambahnya.

Dalam kegembiraan menyambut Syawal, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun kerana boleh menyebabkan kecederaan sehingga jari terputus.

Akhir kata, beliau turut menjemput orang ramai untuk datang ke rumah terbukanya.

“Saya dan isteri, (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin,” katanya yang turut mempersilakan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

-Sinar Harian