Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 3pm

Agong Solat Raya Di Masjid Muhammadi

Foto: BernamaFoto: Bernama

KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di sini, bersama kira-kira 5,000 jemaah bersempena sambutan 1 Syawal.

Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat Diraja Kelantan serta pembesar negeri Kelantan.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhammad Hana Pizi Abdullah manakala Mufti Negeri Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad bertindak sebagai khatib.

Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda serta Tengku Muhammad Faiz sebaik selesai khutbah Aidilfitri.

Mohamad Shukri ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Berhari raya mengikut kaca mata Islam’, berkata umat Islam berhimpun untuk menunaikan solat Aidilfitri secara berjemaah, memperlihatkan wujudnya persatuan dan kesatuan umat, kerapian dan kekukuhan barisan saf.

“Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak memecahbelahkan jemaah umat Islam, menimbulkan kerosakan pada hubungan baik sesama Islam. Perpaduan, persatuan dan kerukunan hidup adalah hasil daripada akidah keimanan,” katanya.

Beliau berkata Ramadan adalah madrasah yang banyak menyajikan pengajaran untuk umat Islam, yang telah dan untuk dipelajari.

“Ramadan mengajar kita agar ada wawasan jauh ke hadapan agar tidak mendapat untung sesaat tetapi rugi jangka masa panjang iaitu kehidupan di akhirat nanti. Aidilfitri pula banyak mengajar umat Islam supaya mampu melihat persoalan hidup dan kehidupan,” katanya.

Beliau turut menasihati umat Islam supaya berwaspada dengan musuh Islam yang cuba menghancurkan nilai iman, akidah dan keyakinan dengan mereka membanjirkan bermacam-macam fahaman dan aliran.

“Dipasarkan kepada umat Islam terutama anak-anak muda generasi baharu berupa fahaman tidak bertuhan seperti fahaman komunis, ateis, fahaman materialisme serta fahaman Islam liberal kononnya Islam yang dianuti sekian lama itu Islam jumud,” katanya.

Mohamad Shukri berkata kedudukan agama Islam cuba disamaratakan dengan agama lain, agama Islam dianggap menghambat dan menyekat kemajuan, bahkan agama itu candu dan dadah masyarakat.

Sepanjang sejarah kehidupan manusia, golongan anti tuhan, anti Islam dan kuncu-kuncunya dihancurkan oleh pembawa panji-panji tauhid, katanya.

Beliau mengajak umat Islam sama-sama berfikir bagaimana untuk mewariskan generasi akan datang dengan nilai-nilai akidah keimanan dan keyakinan tauhid.

“Tauhidlah yang memerdekakan manusia daripada belenggu hawa nafsu berupa keangkuhan, kesombongan, keserakahan dan sebagainya. Tauhid akan membebaskan manusia daripada syirik dan sistem yang tidak adil,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata perbezaan pendapat seharusnya menjadi pemangkin yang merangsang umat Islam untuk memperkukuhkan ukhuwah islamiyah dan menjana perpaduan kerana itulah yang dituntut oleh Ramadan dan amalan puasa.

Selesai mengerjakan solat sunat, Seri Paduka bersama adinda baginda, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke majlis penghadapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Balai Besar yang terletak berhampiran masjid berkenaan.

- Bernama