Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

Dugaan Aidilfitri

“SAYA yang sedang meninjau keadaan cuaca dari kaki lima rumah, terkejut apabila angin bertiup kencang secara tiba-tiba sehingga pasu bunga di laman rumah terbalik,” kata Shukri Abdul Hamid, 48.

Shukri dari Kampung Pondok Labu, Keladi, Kulim, adalah antara mangsa kejadian ribut yang melanda daerah itu, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, 14 buah rumah di beberapa kawasan membabitkan Kampung Pondok Labu, Batu 12 Terap, Jalan Baru Sedim, Taman Kenari, Taman Salad, Kampung Lama Lunas dan Kampung Paya Jemerli rosak dilanda ribut.

Shukri berkata, keadaan angin yang semakin kuat menyebabkan dia terus berlari ke dalam rumah dan mengarahkan ahli keluarga berlindung di tingkat bawah rumah.

Menurutnya, ketika sedang berlindung, mereka sekali lagi terkejut apabila air mengalir melalui lantai kayu di tingkat atas rumah menyebabkan ruang tamu di tingkat bawah basah.

“Saya kemudian naik ke tingkat atas untuk memeriksa dan mendapati siling rumah bocor dengan tiga lubang menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumah.

“Sebahagian bumbung rumah turut tercabut dan jatuh ke belakang rumah.

“Malah selepas kejadian itu kami terpaksa mencuci dan menimba air yang bertakung di bahagian ruang tamu tingkat bawah sehingga awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, kejadian bumbung rumahnya diterbangkan angin semalam adalah kali yang kedua selepas kejadian pertama enam tahun lalu.

“Mujur kejadian ini berlaku selepas tiga hari umat Islam menyambut Aidilfitri, namun segala barangan rumah seperti sofa, tilam dan barangan lain basah terkena air hujan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, dalam kejadian ribut petang semalam sebanyak 14 rumah di beberapa buah kampung rosak akibat bumbung diterbangkan angin.

-Harian Metro