Mon07162018

LAST_UPDATEMon, 16 Jul 2018 8pm

PM Thai Tidak Bincang Isu Ekstradisi Dengan Theresa May

Jen Prayut Chan-o-cha.Jen Prayut Chan-o-cha.

BANGKOK – Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengesahkan bahawa beliau  tidak akan membincangkan isu ekstradisi dua bekas Perdana Menteri Thaksin dan Yingluck Shinawatra semasa lawatannya ke United Kingdom.

Lawatannya ke UK dan Perancis mulai esok hingga 26 Jun akan tertumpu kepada soal ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang disifatkan Perdana Menteri itu sebagai perkara amat penting bagi Thailand.

“Saya tidak akan bincangkan perkara lain,” kata beliau, bila ditanya oleh media hari ini sama ada beliau akan membincangkan isu ekstradisi itu dengan rakan sejawatan UKnya Theresa May.

Prayut ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

Media tempatan membuat spekulasi dua adik beradik itu, Thaksin dan adik perempuannya, Yingluck telah melarikan diri ke United Kingdom selepas masing-masing meloloskan diri keluar dari Thailand pada 2008 dan Ogos tahun lepas.  

Lawatan Prayut itu merupakan kunjungan pertama oleh perdana menteri sejak Kesatuan Eropah (EU) memutus untuk melonggarkan sekatan ekonomi ke atas Thailand tahun lepas berikutan  rampasan  kuasa    tentera pada 2014.

Sementara itu, Prayut berkata pilihan raya umum (PRU) Thailand akan diadakan selepas  pertabalan Raja  Maha Vajiralongkorn,  tetapi tidak pula menyatakan tarikh pertabalan.

Raja itu menaiki takhta berikutan kemangkatan bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada Okt 2016.  

Prayut memberitahu pemberita bahawa PRU itu perlu mematuhi road-map yang ditetapkan oleh kerajaan pimpinan  tentera. 

Selepas penangguhan beberapa kali, perdana menteri itu berkata PRU itu akan berlangsung pada  Februari tahun depan.  

-- BERNAMA