Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 8pm

Tiga Pemain Muda Negara Tekad Timba Ilmu Bersama PSG

SEPANG -- Tiga pemain Bawah 13 (B-13) negara yang bernaung di bawah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari bertekad menimba sebanyak mungkin ilmu di dalam sukan berkenaan selepas dipilih mewakili sebuah kelab terkemuka Perancis dalam sebuah kejohanan bola sepak remaja di Rome, Itali dari 21 hingga 24 Jun ini.

Tiga pemain berkenaan iaitu Hazriq  Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon dipilih untuk beraksi bersama pasukan B-13 Paris Saint-Germain (PSG)  dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello.

Hazriq Haqqim, 13 yang beraksi di posisi penjaga gol berkata beliau teruja dipilih mewakili kelab terkenal berkenaan dan berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik bagi membantu pasukan itu muncul juara kejohanan berkenaan.

“Saya ada rasa sedikit gementar namun ia bukan penghalang untuk saya memberikan aksi terbaik di sana nanti...Saya berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk PSG dan mendapat tempat  dalam  kesebelasan utama pasukan,”katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Perancis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Berkongsi pandangan sama adalah Rohisham Haiqal yang teruja diberi peluang beraksi dengan  kelab  PSG, sambil berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang banyak memberi sokongan moral untuknya berkecimpung dalam sukan bola sepak.

“Pengalaman beraksi dalam sebuah kejohanan di Perancis sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin oleh saya dan sudah semestinya mahu membantu pasukan PSG muncul juara serta muncul selaku pemain terbaik kejohanan,” jelas anak jati Jengka, Pahang itu.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang turut berada di KLIA menyifatkan peluang beraksi bersama kelab PSG membuktikan pemain muda di negara mempunyai potensi yang berjaya dikesan pihak luar.

“Cuma menjadi tanggungjawab setiap pihak bukan hanya di pihak kerajaan tetapi semua pihak di Malaysia untuk membangunkan potensi (bakat-bakat muda) ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga boleh,” katanya.

-- BERNAMA