Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

Jabatan Air Sabah Perlu Segera Atasi Masalah Air Hospital Semporna

Stephen Wong Tien Fatt (kanan) diberi taklimat tentang masalah air di Hospital Semporna.Stephen Wong Tien Fatt (kanan) diberi taklimat tentang masalah air di Hospital Semporna.

SEMPORNA -- Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah mengarahkan Jabatan Air Negeri melaksanakan tindakan kerja segera bagi mengatasi masalah kekurangan air di Hospital Semporna di sini yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata arahan tindakan segera itu termasuk menambah tangki simpanan air sebanyak 240,000 liter untuk di pam masuk ke tangki utama hospital serta menambah dua booster pam untuk penyaluran air lebih baik.

"Selain itu empat pam juga perlu ditukar termasuk paip yang menyalurkan air masuk daripada paip dua inci kepada enam inci.

"Kerja-kerja ini adalah keutamaan untuk dilaksanakan Jabatan Air, kalau boleh pam serta tangki menampung 40,000 liter dapat dihantar esok," katanya.

Peter yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak tangki simpanan hospital di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong Tien Fatt menyuarakan masalah kekurangan bekalan air di Hospital Semporna yang dianggap kritikal dan menjejaskan kualiti kerja serta kesihatan pesakit.

Menurutnya, punca permasalahan yang dikenal pasti adalah sistem pempaipan sedia ada adalah dikhaskan untuk pelan asal hospital sahaja.

"Ada tambahan bangunan (berhampiran unit kecemasan) dan sistem pempaipan yang sebelum ini sebenarnya cuma dikhaskan untuk bangunan lama," katanya dan menambah wad persalinan dan bilik pembedahan antara yang paling terkesan dengan masalah air.

Dalam pada itu, Peter berkata sejak menggalas tugas sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, perkara awal dikenal pasti adalah sistem air yang digunakan di semua daerah di Sabah adalah tidak mengikut spesifikasi dan kebanyakan paip sedia ada perlu diganti baharu.

"Misalnya, di Semporna sahaja hanya 30 peratus air dapat dibekalkan kepada pengguna," katanya terdapat juga faktor lain menyumbang kepada kegagalan membekalkan 100 peratus air kepada pengguna termasuk paip dicuri serta paip pecah.

Sementara itu, katanya satu kertas kerja telah disiapkan mengenai kaedah jangka pendek serta panjang bagi menangani isu air di Sabah yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada 27 Jun ini.

"Permasalahan air ini telah berlanjutan bertahun lamanya dan misalnya di Hospital Semporna ini isu air adalah kritikal sekali gus menyusahkan rakyat sebab itu perlu ditangani dengan pelan tersusun," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap permohonan kementeriannya untuk menambah tenaga pekerja sama ada berstatus tetap atau kontrak untuk ditempatkan di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri serta Jabatan Pembentungan diluluskan kabinet negeri.

"Misalnya tenaga kerja Jabatan Air sebelum ini adalah daripada syarikat konsesi dan kurang penglibatan daripada pekerja dalam jabatan sendiri untuk memantau," katanya.

-- BERNAMA