Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

Najib Tarik Balik Saman Terhadap Mkini, Dua Editor Kanan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setia­usaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini menarik balik saman fitnah mereka terhadap pengendali portal Malaysiakini dan dua editor kanannya berhubung komen pembaca dalam dua artikel yang diterbitkan dalam portal tersebut, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin kemudian merekodkan persetujuan bersama untuk menarik balik saman berkenaan tanpa sebarang perintah kos selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib dan Ab. Rauf ketika ditemui pemberita berkata, saman itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan baharu.

Peguam A. Surendra yang mewakili syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan (kini Ketua Pengarang) dan Ketua Pengarangnya ketika itu, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga hadir dalam prosiding itu.

Surendra ketika ditemui berkata, tiada sebarang sebab dinyatakan oleh kedua-dua plaintif untuk menarik balik saman itu dan pihaknya bersetuju dengan tindakan ber­kenaan.

Pada 30 Mei 2014, Najib atas kapasiti peribadinya dan Ab. Rauf bagi pihak UMNO memfailkan saman fitnah itu terhadap ketiga-tiga defendan berhubung siri hantaran pembaca yang diterbitkan dalam laman web mereka.

Saman tersebut adalah berhubung kompilasi komen pembaca dalam dua artikel bagi rua­ngan Yoursay yang disiarkan pada 14 Mei 2014.

Kedua-dua plaintif mendakwa artikel itu telah mencemarkan reputasi mereka dan menimbulkan andaian bahawa UMNO adalah tidak kompeten sebagai sebuah badan politik dan tunjang Barisan Nasional (BN).

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa pihak defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM rea­ping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu? di bawah rua­ngan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei 2014.

Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen da­ripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula dalam laman portal tersebut.

- Utusan Online