Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

‘Badan Sihat, Belanja Pun Jimat’

KUALA KETIL - Peminat ulam-ulaman, mengambil alternatif menanam pelbagai jenis ulaman di sekeliling kediamannya di Taman Permai.

Nashadah Yahya,60, berkata, pelbagai jenis ulam mula ditanam sekitar empat tahun lalu selepas harganya meningkat.

“Dulu tanam sedikit saja, tapi sebab harga ulam pun dah mahal, makcik mula tanam ulam-ulam lain.

“Ada ulam seikat RM1 sekarang dah jadi RM3. Tanam ulam, jiran-jiran pun boleh makan, makcik bagi percuma saja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, usaha dilakukan itu menjimatkan perbelanjaannya. Katanya, antara pokok-pokok ulam ditanam ialah gajus, beluntas, putat, cenehom, selom, cekor, pegaga, belalai gajah, kunyit, kaduk dan ulam raja.

“Ulam kuku gereda pun ada, pucuknya sedap buat ulam, daun kuku garuda boleh campur dengan tepung buat cucur. Modal pun tak perlu banyak. Selebihnya makcik tanam pokok bunga,” katanya.

Nashadah berkata, keluarganya jarang diserang penyakit dan ia dipercayai ada kaitan dengan khasiat ulam dan pokok bunga ditanam.

“Alhamdulillah, makcik pun tak ada darah tinggi dan kencing manis. Anak dan cucu pun jarang sakit. Kalau demam, makcik mandikan dengan bunga Melor, cepat baik.

“Keadaan rumah yang hijau tenangkan fikiran, bangun pagi makcik suka tengok warna tumbuhan,” katanya.

-Sinar Harian