Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

Goh Liu Ying Mahu Perbaiki Prestasi Di Terbuka Msia

Goh Liu Ying.Goh Liu Ying.

KUALA LUMPUR -- Pemain beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying masih belum berpuas hati dengan persembahan dan prestasinya bagi musim ini dan berharap gandingan bersama Chan Peng Soon mampu membuat kejutan di Terbuka Malaysia 2018. 

Pasangan negara itu bagaimanapun berkata mereka sudah berbincang dengan jurulatih, Pang Cheh Chang, untuk sekurang-kurangnya memperbaiki prestasi di kejohanan yang akan membuka tirainya esok hingga 1 Julai di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil. 

"Jurulatih sudah pun beri nasihat mengenai masalah kami, apa yang perlu kami lakukan untuk perbaiki prestasi agar lebih baik. Bagi saya, apa yang paling penting adalah untuk kami kembali kepada prestasi terbaik kami seperti sebelum ini.

"Untuk Terbuka Malaysia kali ini, kami memang tiada apa-apa sasaran tapi saya yakin dapat lepasi cabaran pertama nanti dan jika bernasib baik akan jumpa rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai," katanya selepas majlis memperkenalkan trofi Siri Super Akhir 2018 yang akan diadakan di Ghuangzou, China pada Disember. 

Gandingan yang baru sahaja meraih kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lepas itu mengakui sudah bersedia selepas kembali pulih serta menyesuaikan diri dengan perbezaan masa.

Mengulas mengenai kemungkinan mereka akan berjumpa Soon Huat-Shevon pada pusingan kedua, Liu Ying berkata tidak kira pasangan mana yang akan mara ke suku akhir, yang pasti ia bakal menggembirakan seluruh peminat badminton tanah air. 

"Mengenai peluang ke suku akhir jika ditakdirkan bertemu satu lagi pasangan Malaysia, semuanya tidak pasti kerana kami saling memahami corak permainan serta teknik masing-masing.  

"Jadi ia agar sukar dan kami tidak pasti peluang kami macam mana. Yang pasti, jurulatih mesti berpuas hati dan gembira jika salah satu pasangan mara ke peringkat seterusnya," katanya. 

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei juga tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik sebaliknya mahu fokus terhadap satu persatu perlawanan terlebih dahulu. 

Beliau yang akan bertemu pemain Taiwan, Pai Yu Po di pusingan pertama mengakui berpuas hati dengan undian tersebut dan yakin beliau memiliki peluang untuk mara ke saingan seterusnya. 

Pemain muda itu kini berada di tahap terbaiknya dari segi stamina serta persediaan mental dan fizikal termasuk bebas daripada sebarang kecederaan. 

-- BERNAMA