Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 12pm

Anggota JPJ Dilanggar Motosikal

TEMERLOH - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan detik cemas selepas dilanggar sebuah motosikal ketika bertugas dalam operasi sekatan jalan di Jalan Tengku Ismail kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pengarah JPJ negeri, Mohammad Abdullah berkata, mangsa, Tajuddin Taib, 36, mengalami kecederaan di kaki dan tangan terlibat dalam operasi harian oleh Stesen Penguatkuasa JPJ Sanggang bersama lima anggota lain.

Menurutnya, mangsa cuba menahan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berumur 20-an yang dipercayai ingin melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

“Motosikal yang tunggang lelaki terbabit memecut laju dan tidak dapat mengelak anggota terbabit.

“Anggota terlibat telah tercampak ke tengah jalan akibat dilanggar motosikal jenis Yamaha 125Z tersebut dan mengalami luka di kaki dan tangan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan penunggang motosikal telah ditahan," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, penunggang tersebut melakukan kesalahan tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan telah ditahan pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

Penunggang dan motosikal terbabit dibawa serta ditahan di Balai Polis Temerloh selain satu laporan polis akan dibuat oleh mangsa dan ketua operasi.

-Sinar Harian