Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 12pm

Swasta Disaran Kempen, Sumbang Kepada Tabung Harapan - Amiruddin

Datuk Amiruddin HamzahDatuk Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah menyeru lebih banyak lagi pihak swasta menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia yang mnnyemai semangat cintakan negara menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi.

Amiruddin berkata inisiatif yang dilakukan syarikat pelancongan dalam talian, Traveloka Malaysia dengan memberi pilihan kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang sebanyak RM1 sahaja apabila mereka menempah sama ada tiket penerbangan atau bilik hotel menerusi laman web https://www.traveloka.com/. sangat dialu-alukan.

“Sumbangan derma ini adalah sukarela, pelanggan Traveloka hanya perlu memilih kod ‘MyHarapan’ apabila melakukan tempahan menerusi Traveloka.

"Kempen derma tabung itu juga ini menyemai semangat patriotik rakyat kepada negara menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan Ogos dan September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen Derma Traveloka untuk Tabung Harapan Malaysia – ‘Share Your Love for Malaysia’, di sini hari ini.

Kempen derma Traveloka Malaysia itu akan berlangsung dari 16 Julai sehingga 30 September depan.

Pada 24 Mei lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hutang negara mencecah RM1 trilion setakat 31 Disember 2017 termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion serta RM199.1 bilion membabitkan jaminan yang perlu dilunaskan kerajaan.

Amiruddin berkata rakyat Malaysia patut mencontohi apa yang dilakukan rakyat Korea Selatan pada tahun 1998 apabila mereka berbekalkan semangat patriotik yang tinggi menderma barangan berharga kepada kerajaan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang secukupnya untuk keluar dari krisis kewangan yang buruk yang dihadapi negara tersebut.

“Saya yakin Malaysia juga dapat menyelesaikan hutangnya sama seperti Korea Selatan kerana kutipan Tabung Harapan Malaysia setakat ini berjumlah RM146,861,586.02 setakat pukul 3 petang, hari ini. Justeru, saya menyeru syarikat swasta bersama-sama membantu kerajaan dalam mengerakkan kempen Tabung Harapan Malaysia ini,” katanya.

Kerajaan memerlukan kerjasama dari semua pihak dalam memastikan hutang negara ini dapat dilangsaikan sepenuhnya dan seterusnya meningkatkan prestasi ekonomi negara pada masa depan, kata Amiruddin.

-- BERNAMA