Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 12pm

Melaka United-MBMB Sasar Lepasi Peringkat Kumpulan

Melaka United MBMBMelaka United MBMB

MELAKA — Melaka United-MBMB, yang mewakili negara, meletakkan sasaran melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 di Yogyakarta, Indonesia, dari 15 hingga 21 Julai ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pasukan berkenaan diundi dalam kumpulan sukar dan disifatkan pencabar utama kejohanan iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

"Melaka United-MBMB diletakkan bersama juara bertahan iaitu pasukan dari Thailand, kita berharap pemain mampu melepasi halangan awal dengan melakar kemenangan ketika menentang pasukan dari Vietnam dan tuan rumah.

"Walaupun saingan pada kelompok ini dilihat sukar, tetapi kita telah berpesan kepada mereka (pemain) supaya tidak melepaskan peluang ini jika kita mahu mencipta kejayaan lebih besar," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) Sempena Sukma 2018 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Krubong, di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun sekiranya skuad bimbingan Jurulatih Mohd I'sah Abd Rahim itu mampu mengatasi lawan mereka untuk mara ke saingan seterusnya, peluang Melaka United-MBMB untuk beraksi di pentas akhir kejohanan edisi keempat itu dilihat lebih mudah.

Melaka United-MBMB diundi dalam Kumpulan B bersama wakil dari Thailand iaitu Bangkok BTS FC, Sanatech Khanh Hoa dari Vietnam dan SKN FC Kebumen dari Indonesia.

Ini merupakan penyertaan kali kedua Melaka United-MBMB di peringkat AFF dan pada tahun lepas pasukan tersebut berjaya memenangi tempat ketiga di kejohanan yang sama, di Thailand.

— BERNAMA