Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 12pm

Johor Akan Pelihara, Tambah Baik Institusi Pendidikan Agama Islam -- Osman

Osman SapianOsman Sapian

JOHOR BAHRU -- Kerajaan negeri Johor akan terus memelihara dan menambah baik institusi pendidikan agama Islam di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata ini kerana institusi berkenaan telah lama sebati dalam kalangan rakyat Johor yang majmuk sejak diilhamkan pada zaman Almarhum Sultan Abu Bakar lagi.

Katanya, peranan dimainkan institusi ini juga amat penting dalam membentuk asas-asas keagamaan yang kukuh dalam jati diri rakyat.

"Kerajaan negeri Johor berpendirian bahawa isu ini tidak perlu dipolitikkan. Tidak dapat dibayangkan akibatnya kepada umat Islam di negara dan khususnya negeri Johor ini jika mendapat pendidikan agama yang tidak sempurna atau daripada sumber yang meragukan.

"Selain mengejar kemajuan ekonomi dan infrastruktur, kemajuan dari segi jati diri dan kemanusiaan juga menjadi salah satu asas sebuah bangsa yang kuat – dan di sinilah peranan pendidikan agama jelas terpancar kepentingannya," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat tidak termakan dengan persepsi negatif yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menggambarkan kerajaan hari ini seolah-olah tidak mengambil berat akan institusi terbabit.

Beliau juga berharap agar isu ini tidak dipolitikkan.

Osman berkata demikian sebagai menggulas kerisauan dan kegusaran rakyat berhubung isu sekolah agama dan pusat tahfiz yang dikatakan mahu ditutup.

Semalam, Naib Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta agar Osman tidak terkesan dengan tekanan dan serangan pelbagai pihak ke atas sekolah agama dan pusat tahfiz, yang kelihatan mahu sekolah tahfiz ditutup.

Mohamed Khaled berkata sebagai negeri yang mempunyai sistem sekolah agama yang besar dan menyeluruh, Menteri Besar Johor seharusnya menjadi suara yang tegas dan serius dalam perkara ini.

Jika tidak, tidak mustahil institusi sekolah agama Johor akan turut menerima tempias dan tekanan dari pemikiran liberal yang tidak memberi sokongan kepada sekolah agama dan pusat tahfiz, katanya.

--BERNAMA