Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 8pm

Disaman Kerana Lagu Happy Birthday?

HAPPY Birthday to You adalah antara lagu yang paling masyhur dinyanyikan di dunia. Namun, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa sehingga tahun 2015, anda mungkin boleh disaman sekiranya lagu tersebut digunakan untuk tujuan komersial seperti kegunaan di restoran, dalam dokumentari, wayang, dan video muzik.

Versi asalnya adalah dari sebuah lagu berjudul Good Morning to All yang dihasilkan oleh dua beradik Hill sekitar tahun 1983. Lirik kedua lagu berbeza, namun melodinya adalah sama. Hak cipta kedua-dua lagi ini akhirnya diserahkan kepada syarikat Summy.

Pada tahun 1988, sebuah syarikat muzik terkenal, Warner/Chappel telah membeli syarikat Summy berserta dengan segala hak yang dipegang oleh syarikat tersebut. Semenjak itu, Warner/Chappel mendakwa bahawa mereka adalah pemilik kepada lagu Happy Birthday dan mula mengenakan bayaran royalti bagi penggunaan lagu tersebut untuk tujuan komersial.

Ini bermaksud, sesiapa yang menggunakan lagu tersebut tanpa kebenaran adalah berisiko untuk disaman oleh Warner/Chappel. Oleh sebab itu, kebanyakan pengusaha restoran dan pembikin filem mula membayar royalti. Dianggarkan pendapatan Warner/Chappel adalah sebanyak AS$2 juta setahun.

Segalanya berubah pada tahun 2010. Profesor Brauneis telah menjalankan kajian tentang asal-usul hak cipta Happy Birthday dan beliau mendapati bahawa pemilikan Warner/Chappel boleh diragui. Dapatan kajian ini akhirnya memeranjatkan banyak pihak.

Pada tahun 2013, seorang pembikin filem dan sekumpulan artis menyaman Warner/Chappel untuk menuntut bayaran royalti yang pernah dibayar dan meminta mahkamah USA untuk membatalkan pemilikan Happy Birthday oleh Warner/Chappel.

Untuk menang dalam kes ini, pihak-pihak yang terlibat perlu membuktikan siapakah penulis asal lirik Happy Birthday. Dari sudut strategi, pihak plaintif perlu meranapkan kes Warner/Chappel dengan menunjukkan bahawa Warner/Chappel bukanlah penulis lirik dan pemilik hak cipta Happy Birthday.

Dengan cara ini, pihak plaintif boleh membuat konklusi bahawa Warner/Chappel sebenarnya tidak berhak untuk mengenakan bayaran royalti bagi karya yang bukan milik mereka. Warner/Chappel pula perlu mempertahankan kedudukan mereka sebagai pemilik Happy Birthday dengan membuktikan bahawa adik-beradik Hill benar-benar telah menulis lirik tersebut dan memberikannya kepada syarikat Summy – sebelum syarikat Summy dibeli oleh Warner/Chappel.

Dengan cara ini, Warner/Chappel boleh membuat konklusi bahawa sebagai pemilik lagu yang sah, mereka berhak untuk mengenakan bayaran royalti.

Di mahkamah, kebanyakan bukti menunjukkan lirik lagu Happy Birthday pernah muncul dalam beberapa buku dan majalah yang diterbitkan sekitar tahun 1900-an.

Cuma, rekod sejarah tidak pula menunjukkan sebarang maklumat lengkap tentang penulis sebenar lirik lagu ini. Pendedahan melalui bukti-bukti ini telah menunjukkan satu susur galur sejarah penulis lirik yang rumit dan mengelirukan.

Akhirnya, pada tahun 2015, dalam kekeliruan tentang rekod penulis sebenar lirik Happy Birthday, mahkamah USA mengambil langkah selamat untuk tidak berpihak kepada Warner/Chappel dan memenangkan pihak plaintif. Dengan keputusan ini, Warner/Chappel adalah bukan lagi pemilik lagu Happy Birthday dan mereka berjanji akan memulangkan kembali kesemua royalti yang pernah diterima.

Sejak tahun 2015 hingga kini, status lagu Happy Birthday mungkin boleh dianggap seperti lagu-lagu rakyat kita yang lain. Ia percuma untuk digunakan oleh sesiapa dalam apa bentuk majlis dan tujuan kegunaan sekalipun, tanpa risiko untuk disaman oleh sesiapa – melainkan pemilik atau waris sebenar lirik itu muncul pada abad ini. Namun, kebarangkalian ini untuk berlaku mungkin agak tipis.

* Penulis ialah pensyarah hndang-undang, UiTM Negeri Sembilan

-Sinar Harian