Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 8pm

Burung Baji Jadi Sumber Rezeki

KEGAGALAN lalu tidak melunturkan semangat seorang bekas tentera ini untuk terus menggapai kejayaan.

Sebaliknya semangat juangnya tetap utuh untuk kembali bangkit selepas mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat 600 ekor ayam kampung yang diternaknya mati ketika negeri ini dilanda banjir besar pada 2014.

Asal beli 10 ekor
Sukri Ahmad, 47, dari Kampung Jerantut Feri itu kini mengusahakan ternakan burung budjie atau nama saintifiknya Melopsittacus undulatus atau juga dikenali dengan burung baji.

Dia yang mengakui meminati dunia unggas dan haiwan sejak kecil lagi memberitahu segalanya bermula sekadar hobi dan kini menjadi sumber rezeki.

“Pada awalnya saya beli 10 ekor sahaja burung baji ini dari kawan di Perlis untuk dipelihara sebagai hobi.

“Selepas memeliharanya hampir dua tahun, burung ini mula membiak. Pada mulanya hanya kenalan rapat sahaja yang minta saya jual untuk dijadikan burung peliharaan di rumah.

“Setahun kemudian saya lihat permintaan terhadap burung ini sangat tinggi terutama dari kedai haiwan peliharaan dan peminat burung itu sendiri”, katanya yang bersara dengan pangkat sarjan pada 2012.

Sejak itu, bapa kepada tiga anak itu tidak menoleh ke belakang dan terus membeli 200 induk burung sebagai permulaan.

“Kemudian saya bina reban bersaiz 20x30 kaki persegi dan menyediakan hampir 50 kotak untuk burung bertelur dan membiak.

“Kini saya mampu hasilkan 20 hingga 40 ekor burung baru sebulan dan dijual dengan harga RM15 hingga RM50 ringgit seekor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sukri memberitahu, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan burung tersebut.

“Buat masa ini saya hanya bekalkan burung tersebut sekitar daerah Jerantut, Temerloh dan Jengka sahaja.

“Ada juga permintaan dari Lembah Klang namun saya tak mampu kerana bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Mahu tambah induk
Katanya lagi, permintaan burung baji dari peminat juga tinggi yang mahukan burung bersaiz lebih besar, bulu bewarna cantik dan baka yang baik kerana ciri-ciri terbabit mampu mencecah harga RM300 seekor.

“Penjagaan burung ini juga senang. Saya hanya perlu beri makan dua kali sehari dan sebulan sekali beri minuman vitamin, protein dan ubat penggalak telur.

“Masalah serangan penyakit juga kurang kerana burung ini lasak dan tiada penyakit khas seperti yang berlaku pada ayam dan unggas lain,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Sukri turut mempromosikan dan menjual burung tersebut di Facebook miliknya, Korey Ree.

Ditanya perancangannya selepas ini, dia berhasrat menambah dua lagi reban yang dijangka membabitkan modal kira-kira RM10,000.

Menurutnya, dia ingin menambah jumlah induk burung itu bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

Justeru katanya, dia akan berusaha bagi memenuhi impian berkenaan.

“Untuk dua reban itu boleh dimuatkan kira-kira 500 ekor burung setiap satu.

“Saya berharap dapat merealisasikan hajat ini secepat mungkin,” katanya.

-Sinar Harian