Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 7pm

Pengguna Rancak Berbelanja Selepas GST Sifar

SHAH ALAM: Pengguna dilihat rancak berbelanja selepas kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar sejak 1 Jun lalu.

Pakar kewangan pengguna, Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, keadaan itu sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi perbelanjaan pengguna.

Katanya, pengguna banyak membeli kenderaan baharu ketika ini yang ketara dari segi penurunan harga selepas sifar GST.

“Sentimen pengguna masih lagi sama, selepas GST sifar dan juga ketika zaman pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Mereka belanja macam biasa.

“Cuma dalam sektor tertentu seperti automotif paling ketara dari segi pembelian pengguna disebabkan harga rendah selepas GST sifar,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas sentimen pengguna selepas GST sifar dan pengenalan semula kepada SST dijangka September ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kebimbangannya terhadap harga barang yang akan naik lebih tinggi selepas SST diperkenalkan dan diperluaskan.

Mohamad Fazli berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan pengguna kerana menyebabkan ramap naik.

“Sebagai langkah terbaik, pengguna kena tunggu dan lihat. Kita pun tak tahu bagaimana SST ini akan dilaksanakan nanti. Betulkah ia akan dilaksanakan September ini dan berapa kadar peratusan cukai itu. Semua ini belum dapat dipastikan.

“Saya pasti, kerajaan akan lihat kesan menyeluruh kepada pengguna dan tidak akan membebankan mereka, sebelum pelaksanaan SST nanti. Kerajaan sekarang pun dilihat membantu pengguna berbelanja supaya ekonomi negara bergerak rancak,” katanya.

- Sinar Harian