Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 7pm

Mengaku Tidak Bersalah 
Lupus Mayat Adam Rayqal

Foto: UtusanFoto: Utusan

KUALA LUMPUR: Setelah dikaitkan dengan perbuatan me­nyembunyikan mayat Adam Ray­qal Mohd. Sufi Naeif di dalam peti sejuk di rumah sewanya, pe­ngasuh bayi itu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan menganiaya dan melupuskan mayat bayi lelaki berusia lima bulan itu, minggu lalu.

Noor Aqilah Abd. Rahman, 33, yang memakai baju T warna ungu tertera perkataan The Road to success is always under construction (Perjalanan me­nuju kejayaan sentiasa dalam pembinaan) didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves dekat sini antara pukul 6.20 petang dan 6.50 petang, 3 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita berbadan gempal itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ter­hadap Adam Rayqal menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, wanita itu didakwa telah melupuskan mayat bayi berkenaan dengan niat untuk menyembunyikan kematian tersebut agar dia terlepas daripada hukuman. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan walaupun kes berkenaan boleh dijamin atas alasan kes tersebut berkepentingan awam dan menarik perhatian ramai.

“Namun demikian, pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah dan sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan tinggi dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam, Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff dan M. Dinesh yang mewakili Noor Aqilah memohon jaminan minimum diberikan atas alasan faktor ekonomi keluarga tertuduh dan ibu bapanya turut mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit darah tinggi, gout dan sakit jantung.

“Pihak pembelaan memohon jaminan minimum atas faktor ekonomi keluarga tertuduh. Ke­dua-dua ibu bapa tertuduh te­lah bersara malah semua ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada tertuduh telah menukar penjagaan kepada orang lain sejak tertuduh ditahan reman.

“Tertuduh masih bujang dan sebelum ini bekerja sebagai tukang masak bagaimanapun berhenti kerja dan mula memberi fokus sepenuhnya dalam menjaga anak asuhan. Anak ang­kat tertuduh berusia tiga tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) turut dijaga oleh orang lain semasa tempoh penahanan,” kata Mohd. Redzuan.

Hakim Syafeera Mohd. Said kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan termasuk dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai serta menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

- Utusan Online