Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 7pm

Jepun Rugi Lebih RM835 Juta

TOKYO: Jumlah mangsa yang terkorban akibat banjir di Jepun meningkat kepada 204 orang dan 28 lagi masih hilang manakala kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe merayu le­bih banyak bantuan disalurkan kepada mangsa.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, jumlah mangsa yang terkorban terus meningkat manakala kira-kira 73,000 petugas penyelamat termasuk anggota polis dan tentera sedang ‘berhempas pulas menyelamatkan nyawa’.

Abe hari ini bertemu dengan mangsa yang terselamat di Seiyo, wilayah Ehime dan melawat kawasan perumahan yang mengalami kerosakan selain meninjau penduduk yang membersihkan rumah masing-masing.

Pada mesyuarat bersama pa­sukan petugas kerajaan pagi ini, Abe merayu lebih banyak bantuan disalurkan kepada mangsa.

Jelasnya, kerajaan berjanji untuk menyerahkan kira-kira AS$18 juta (RM72.6 juta) daripada rizab bajet tahun ini selain AS$312 juta (RM1.2 bilion) geran cukai akan dibayar lebih awal kepada pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

“Pihak berkuasa tempatan di kawasan yang terlibat dalam bencana ini perlu melakukan yang termampu untuk melaksanakan bantuan kecemasan dan pembinaan semula serta tidak ragu-ragu mengeluarkan perbelanjaan bagi tujuan ini,” katanya.

Kos kerugian akibat bencana tersebut masih belum dinilai tetapi Kementerian Pertanian memaklumkan jumlah kerugian dianggarkan sekurang-kurangnya AS$207 juta (RM835.5 juta).

Jumlah itu dijangka meningkat selepas operasi pembersihan dan penilaian kemusnahan dilakukan.

Jurucakap kementerian, Yasuhisa Hamanaka berkata, penilaian awal masih kecil kerana pihaknya masih belum menjalankan siasatan ke kawasan terbabit.

Sementara itu akhbar Japan Times melaporkan, banjir di daerah Kurashiki, wilayah Okayama telah diramalkan secara tepat oleh pihak berkuasa tempatan.

Namun arahan berpindah kepada penduduk di beberapa daerah hanya dikeluarkan beberapa minit sebelum banjir melanda.

“Kita perlu meneliti tahap kawalan kita terhadap bencana alam sebegini,” lapor akhbar itu.

Sementara itu, pekerja majlis perbandaran bertungkus lumus menyambung bekalan air di kawasan yang terjejas banjir di barat Jepun, seminggu selepas bencana banjir terburuk melanda negara ini.

Jika minggu lalu para penduduk bergelut dengan banjir kini mereka terpaksa menghadapi suhu panas yang mencecah lebih 30 darjah celsius, bau busuk dan jalan raya yang dipenuhi lumpur.

– REUTERS