Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

KDN Harap Tambah Peruntukan Atasi Masalah Dadah

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri berharap mendapat peruntukan tambahan bagi menangani masalah dadah di negara ini dalam Belanjawan 2014.
 
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masalah dadah perlu dibanteras supaya kehidupan dan masa depan anak-anak terpelihara, serta mengurangkan jumlah jenayah melibatkan penyalahgunaan dadah.
 
Beliau berkata kajian kementerian mendapati 48.2 peratus daripada 35,000 banduan di dalam penjara di seluruh negara terlibat dalam jenayah kerana penagihan dadah.
 
Katanya, akibat ketagihan dadah, banduan-bandun ini telah terlibat dengan kes jenayah seperti ragut, menyeludup, mengedar, merompak, pecah rumah dan menyamun sehingga mereka ditangkap dan dipenjarakan.
 
“Kementerian akan memohon peruntukan tambahan dua kali ganda daripada apa yang diterima sebelum ini. Sejak 2011, kita menerima RM5 juta. Saya harap PM dapat menambah peruntukan kerana ia akan membawa lebih kebaikan mengatasi masalah dadah ini secara menyeluruh, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama NGO di sini, baru-baru ini. 
 
Ahmad Zahid berkata sejak 2011, kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM5juta kepada Pusat Pemulihan Dadah persendirian dan badan bukan kerajaan (NGO), bagi melaksanakan program rawatan dan pemulihan serta pencegahan dadah.
 
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye yang menyambut baik cadangan peruntukan tambahan itu, pula berpendapat dana itu diperlukan untuk menampung kos-kos program, dan aktiviti pemulihan yang dianjurkan NGO-NGO yang berdaftar.
 
“Walaupun terdapat banyak NGO mengendalikan proses pemulihan individu yang terlibat di dalam masalah dadah, namum ramai di antara badan itu mengalami masalah kewangan.
 
“Oleh yang demikian, pertambahan dana yang dicadangkan oleh Menteri akan membantu badan-badan ini untuk terus mengadakan program pemulihan,” katanya kepada Bernama. 
 
Memandangkan kira-kira 300,000 penagih dadah dikenal pasti di Malaysia, Lee berkata kerjasama erat antara semua pihak adalah sangat diperlukan bagi merealisasikan negara ini bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
- Bernama