Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Anak Cuba Lindungi Ibu, Ditembak Bapa

  
Wednesday, 12 September 2012 09:46

SIASAT: Anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian. Pix: Harian MetroSIASAT: Anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian. Pix: Harian MetroIPOH: Demi menyelamatkan nyawa ibu, seorang remaja lelaki menggadai nyawa apabila bergelut dengan bapa kandungnya sebelum ditembak dengan pistol sebanyak dua das oleh lelaki itu dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat di sini, mangsa, R. Hariharen, 15, parah di kaki kirinya selepas ditembak dari dekat di perkarangan rumah mereka.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas suspek yang berusia 40-an datang ke rumah yang didiami isteri dan empat anaknya itu dengan menaiki kereta.

Menurutnya, pasangan itu yang tidak lagi tinggal sebumbung bertengkar di hadapan rumah berkenaan dipercayai akibat selisihan faham.

"Suspek yang juga jurujual, menuduh isterinya curang dan mempunyai hubungan dengan lelaki lain sebelum pertengkaran bertukar ganas.

"Hariharen, anak sulung pasangan itu, cuba meleraikan pergaduhan sebelum bergelut dengan suspek. Ketika itu suspek melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai kaki mangsa," katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal sejurus mendapati anaknya rebah berlumuran darah.

Sementara itu, mangsa ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, dia berniat mahu menghalang ibunya daripada ditembak bapa kandungnya sebelum berlaku pergelutan.

Mangsa yang juga pelajar SM Sri Ampang di sini, berkata, ibunya sempat lari masuk dalam rumah mencari perlindungan sebelum dia cuba lari menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, saya ditembak di kaki kiri dari jarak dekat menyebabkan peluru yang mengenai belakang betis tembus ke bahagian depan kaki.

"Saya berasa takut, tapi bersyukur kerana nyawa ibu dapat diselamatkan daripada cedera atau maut ditembak," katanya.

Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, R. Kumar, 34, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi ibu mangsa, yang juga adiknya, jam 4.40 petang semalam.

Menurutnya, dia yang tinggal di Gopeng bergegas ke rumah adiknya itu menaiki motosikal.

"Sebaik tiba di rumah mereka, saya dapati Hariharen terbaring berlumuran darah sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans.

"Pasangan terbabit sering bergaduh, namun saya tidak sangka ia sampai membabitkan penggunaan senjata api berbahaya. Mereka mempunyai empat cahaya mata berusia sembilan, 12, 13 dan 15 tahun," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan usaha memburu suspek masih dijalankan.

 

-- Harian Metro

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.