Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Parti Liar LGBT: Pesta Setiap Minggu

  
Sunday, 23 September 2012 13:30

SEMUA BOLEH MASUK: Selain gay dan lesbian golongan seks bebas juga boleh turut serta. Pix: Metro AhadSEMUA BOLEH MASUK: Selain gay dan lesbian golongan seks bebas juga boleh turut serta. Pix: Metro AhadKUALA LUMPUR: Jika sebelum ini negara pernah digemparkan dengan parti kolam atau "pool party" yang menggalakkan wanita berbikini sambil berparti liar, sebuah pusat hiburan di sini bertindak lebih berani menganjurkan pesta kolam serupa tapi khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Ahad lalu.

 

Parti liar yang diadakan secara percuma kepada pengunjung itu dinamakan "Rainbow Party" atau Parti Pelangi, dan pemilihan simbol pelangi memang sinonim dengan golongan LGBT.

Selepas mendapat maklumat daripada sebuah laman sosial dan berdasarkan siasatan daripada kunjungan pertama, wartawan Metro Ahad menyamar sebagai pelanggan dan memasuki pusat hiburan berkenaan untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana parti itu berlangsung.

Terbukti, parti liar yang bermula seawal jam 4 petang sehingga lewat pagi itu cukup meriah, lebih-lebih lagi dengan tarikan pertunjukan parti bikini yang disajikan kepada pengunjung.

Daripada pemantauan, pusat hiburan berkenaan memang menjadi tumpuan golongan LGBT malam itu, tetapi kebanyakan adalah gay dan lesbian. Di sudut tertentu, cukup mudah melihat pengunjung menari dalam keadaan mengghairahkan bersama pasangan mereka.

Begitupun, yang bukan LGBT juga didapati berkunjung ke situ malam berkenaan, namun bilangannya tidak begitu ramai.

Ketika pesta berlanjutan sehingga jam 10 malam, sebilangan pengunjung wanita kelihatan membuka pakaian dan memakai bikini, kemudian mandi beramai-ramai di kolam yang disediakan di dalam pusat hiburan terbabit.

Lebih menjijikkan, golongan gay turut sama membuka baju dan mandi di kolam berkenaan bersama pasangan mereka. Parti terus liar sehingga jam 2 pagi, sebelum pengunjur beransur pulang dan mengosongkan pusat hiburan berkenaan.

Terdahulu, ketika kunjungan pertama ke situ awal bulan lalu, kami menyangka ia hanya penganjuran parti kolam biasa.

Malah, parti kolam yang mereka cuba anjurkan itu tergendala disebabkan pemeriksaan mengejut daripada polis yang turut menerima maklumat mengenai penganjuran parti liar berkenaan.

Pesta pada malam itu tidak menjadi, malah ramai pengunjung keluar dari pusat hiburan kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kami sempat mengorek sedikit sebanyak maklumat mengenai pusat hiburan berkenaan sebelum misi penyamaran terganggu. Paling mengejutkan, kami mendapat maklumat menyatakan setiap minggu ketiga premis itu akan menganjurkan pesta LGBT itu.

"Jarang ada pihak berkuasa serbu tempat ini. Entah siapalah yang mengadu (kepada pihak berkuasa) sampai kena serbu macam ni.

"Tak apa, akan datang ada 'Party Rainbow' untuk LGBT, tapi orang 'straight' (normal) pun boleh masuk," kata pekerja pusat hiburan berkenaan yang tidak mengetahui identiti wartawan.

Menurutnya, parti untuk golongan LGBT itu dianjurkan sejak penghujung tahun lalu.

TAK KISAH: Berhibur sampai jam 2 pagi.TAK KISAH: Berhibur sampai jam 2 pagi."Kadang-kadang kami (pusat hiburan) adakan persembahan istimewa untuk golongan LGBT, biasanya parti wanita berbikini dan lelaki dengan seluar dalam sahaja.

"Ataupun, kami tawarkan arak percuma dengan setiap tempahan meja sebelum menghadiri parti itu," katanya.

Dia berkata, walaupun setiap minggu ketiga premis itu mengadakan parti untuk LGBT, namun mereka tidak menghalang golongan lelaki dan perempuan normal turut serta berpesta sambil berhibur.

"Seronok sebenarnya 'join' (menyertai) gay dan lesbain berparti, mereka mesra dan sangat riang. Suasana cukup meriah," katanya.

Berdepan tindakan perundangan

Pusat hiburan yang dikatakan menganjurkjan parti kolam untuk golongan LGBT di Kuala Lumpur, Ahad lalu bakal berdepan tindakan undang-undang jika siasatan pihak berkuasa mendapati mereka terbukti menjalankan kegiatan songsang berkenaan.

Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa berkata, pihaknya memandang serius aktiviti liar seperti itu kerana mencemarkan nama negara selain mengetepikan soal sensitiviti masyarakat.

"DBKL akan menjalankan siasatan dan memantau aktiviti yang dijalankan pusat hiburan terbabit. Saya tidak pasti mereka mempunyai lesen untuk mengadakan parti terbabit tetapi saya yakin jika ia berkenaan parti liar iaitu gay, lesbian dan parti bikini, sudah pasti DBKL tidak akan mengeluarkan permit," katanya.

Beliau berkata, untuk sebarang aktiviti atau membuka pusat hiburan, individu atau syarikat terbabit perlu mempunyai lesen dan permit.

Menurut Ismail, walaupun ada individu yang memohon permit untuk mengadakan sebarang majlis atau parti, pihak DBKL tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan lesen dan permit terbabit.

"Bukan senang untuk DBKL mengeluarkan kebenaran. Malah, kami juga akan mengkaji dan meneliti apakah jenis aktiviti yang mereka ingin lakukan. Selain itu, DBKL turut mempunyai kirteria tertentu sebelum pihak kami mengeluarkan surat kebenaran terbabit," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah berkata, pihaknya akan bertindak atas maklumat yang diperolehi.

"Kami akan jalankan pemantauan terhadap pusat hiburan terbabit. Jika didapati mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral itu, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Dapat sokongan puak tertentu

Penganjuran parti untuk golongan LGBT sebagaimana yang didedahkan laporan muka depan Metro Ahad hari ini adalah kesinambungan daripada kesan buruk gerakan kebebasan bersuara oleh pro LGBT yang semakin aktif di negara ini.

Itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya, yang menegaskan golongan ini semakin berani berikutan ada puak tertentu yang menyokong gaya hidup bebas mereka itu.

Fathul Bari berkata, fenomena ini cukup membimbangkan dan perlu dibendung bagi mengelak implikasi lebih teruk terhadap generasi muda, terutama yang beragama Islam.

"Dalam perkara tertentu, kita tidak boleh berkompromi, lebih-lebih lagi budaya LGBT ini lebih menjurus kepada aktiviti mungkar, dan yang lebih penting, ia bercanggah dengan ajaran Islam.

"Sudah tiba masanya, kerajaan mengambil tindakan serius daripada gejala begini (parti liar LGBT) semakin parah nanti.

"Undang-undang syariah kita juga perlu lebih tegas untuk menghukum pesalah yang melanggar hukum Allah ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Fathul Bari pernah menyertai tinjauan ke sebuah pusat parti liar LGBT di ibu negara bersama akhbar ini ketika Ramadan lalu.

Beliau menyelar 'pembiakan' bentuk hiburan, termasuk untuk golongan LGBT memandangkan ia menunjukkan meruntuhan akhlak generasi muda ketika ini.

"Dah bertambah teruk saya tengok, semakin banyak tempat hiburan, rumah urut dan spa khusus untuk LGBT, makin menjadi-jadilah aktiviti kemungkaran ini.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan perlu dicegah. Inilah natijahnya kalau kita terlalu beri muka, yang rosakknya nanti adalah generasi muda dan mereka inilah yang bakal memimpin negara satu hari nanti," katanya.

Menyentuh gerakan LGBT seperti yang diperjuakan Seksualiti Merdeka di negara ini, beliau menegaskan ia satu wadah kebebasan bersuara yang tidak kena pada tempatnya.

"Mereka menuntut hak kebebasan yang menyokong gaya hidup songsang ini, ia tidak boleh dipraktikkan di negara yang berpaksikan Islam, kita bukan Barat.

"Isu kebebasan ini sudah disalah fahami. Jika mereka (LGBT) inigin menuntut sesuatu, mereka perlu berdiskusi dengan pihak berwajib terlebih dulu, bukan turun di jalanan menuntut sesuatu yang diluar norma kemanusiaan," katanya.

 

- Metro Ahad

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.